Gegaran Dahsyat Hari Kiamat

 
Gegaran Dahsyat Hari Kiamat

``Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya.'' (Al-Zalzalah: 1 dan 2)

Huraian
 
Hidup manusia di muka bumi ini hanyalah bersifat sementara kerana kehidupan di akhirat sana adalah kehidupan yang kekal abadi. 

Walau bagaimanapun, sebahagian manusia tidak sedar bahawa hidup mereka cuma sementara, lalu mengejar kehidupan dunia umpama mereka akan hidup selamanya. 

Pada hal hari Kiamat akan tiba pada bila-bila masa dan manusia tidak tahu waktu dan ketikanya. 

Sungguh luar biasa sekali kejadian hari itu, iaitu hari di mana Allah menepati janji-Nya kepada makhluk ciptaan-Nya. Tiada yang dapat memberi pertolongan dan tiada tempat untuk mereka bersembunyi. 

Pada waktu itu, bumi akan digegarkan dengan gegaran yang amat dahsyat sehingga terbongkar segala isi bumi yang terpendam selama ini. 

Langit akan terbelah dan gunung akan musnah berhamburan akibat hentaman yang mengerikan itu. Semua planet di setiap galaksi akan berlaga sesama sendiri mengakibatkan alam maya ini hancur sama sekali.

Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam surah al-Waqi`ah ayat 4-6 yang bermaksud: ``(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sesungguh-sungguh goncangan. Dan gunung ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya. Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran.''

Begitulah Allah telah membukakan sedikit tabir rahsia-Nya kepada kita mengenai Hari Perjanjian yang sudah pasti menjadi peringatan kepada mereka yang berfikir dan benar-benar berharap keredhaan daripada-Nya.

Setiap makhluk yang hidup pasti akan mati jua. Begitu juga dengan hayat alam akan berakhir dengan kemusnahan dan kehancuran.

Kesimpulan

Hari kiamat pasti akan tiba, cuma kita tidak mengetahui bila masanya. Alam maya ini akan hancur dengan kemusnahan yang amat dahsyat dan tidak dapat digambarkan oleh pancaindera. Setelah itu bermulalah alam baru, iaitu alam akhirat yang kekal abadi. Kita sebagai manusia perlu sedar bahawa kita adalah milik Allah dan akan kembali kepada-Nya jua. 

Dengan itu bersedialah menghadapinya dengan amalan-amalan soleh agar mendapat kejayaan hidup di dunia mahupun di akhirat.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat