Pukau ala Pakistan
4 September 2012
KUANTAN - Taktik licik dua lelaki warga Pakistan memperdaya mangsa untuk mendapat wang akhirnya terbongkar selepas mereka ditangkap sekumpulan pengawal keselamatan sebuah pusat membeli –belah dekat sini kelmarin.
Mereka dikatakan menggunakan beberapa keping wang yang dipegang selain
bertanyakan beberapa soalan dalam bahasa Inggeris sehingga menyebabkan
mangsa tidak menyedari kejadian yang berlaku dan menyerahkan wang yang
ada.
Detektif Dalaman pusat beli belah terbabit, Muhammad Yan Abdullah
berkata, dia menerima aduan daripada seorang pemilik butik yang
menyedari kehadiran dua lelaki berkenaan di kedainya melalui rakaman
kamera litar tertutup (CCTV) di butik pakaian miliknya.
Curiga dengan perbuatan lelaki berkenaan yang cuba menarik wang
daripada pekerjanya, Muhammad Yan berkata, pemilik butik itu terus
menghubunginya selepas memberi arahan kepada seorang pekerjanya yang
lain untuk mendekati lelaki itu.“Sebaik menerima aduan, saya terus mendapatkan rakaman wajah lelaki itu
daripada pemilik butik sebelum bertindak mengarahkan semua pengawal
keselamatan mencari lelaki itu di semua kedai dalam pusat beli belah
ini,” katanya.
Katanya, tindakan pantas semua anggota akhirnya berjaya menahan dua
lelaki itu di sebuah kedai buku tidak jauh dari butik terbabit. “Ketika itu, salah seorang lelaki berkenaan sedang memperdaya mangsa
yang juga jurujual di kedai buku itu dan cuba mengambil wang dari mesin
juru wang,” katanya. Menurutnya, dua lelaki berusia lingkungan 40an itu ditahan dan di bawa
ke balai polis untuk siasatan lanjut manakala semua mangsa membuat
laporan polis kira-kira jam 4 petang di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)
Kuantan.
Muhammad Yan berkata, walaupun kejadian itu adalah kes pertama di pusat
beli belah berkenaan tetapi mereka tetap membuat pemantauan kerana
sudah mendengar banyak kes sama sebelum ini. “Banyak kes pukau yang pernah kita dengar sebelum ini dan kebanyakan
mangsa adalah peniaga. Justeru, langkah berjaga-jaga perlu diambil
supaya tidak berulang,” katanya.
Pengakuan Mangsa
Beberapa mangsa mengakui mereka seolah-olah tidak sedarkan diri selepas
didatangi dan ditegur lelaki yang berlagak sebagai pelanggan. Seorang pekerja kedai roti yang dikenali sebagai Abi, 22, berkata, pada
malam kelmarin iaitu kira-kira jam 9 malam, lelaki terbabit membeli
roti dan membayar RM2.20 sebelum bertanya mengenai sama ada negara ini
mempunyai not RM20. Menurutnya, selepas ditanya demikian, dia menunjukkan not RM20 kepada
lelaki itu sebelum dia sekali lagi bertanya mengenai not RM50.
“Selepas menyoalkan saya mengenai not tersebut, dia memaklumkan mahu menukar not RM100 kepada mata wang Arab Saudi. “Bagaimanapun, saya memberitahu padanya bahawa tiada duit dalam mata
wang itu, namun dia tidak berpuas hati dan cuba mengambil wang dalam
mesin juruwang,” katanya ketika ditemui di sini. Abi berkata, ketika itu dia seperti tidak sedar dengan tindakannya
sebelum disergah oleh pengurus yang curiga dengan tindakannya
mengeluarkan wang dan membiarkan lelaki berkenaan cuba mengambilnya. Katanya, selepas disergah, dia terkejut dan sedar namun kelibat lelaki berkenaan sudah hilang.
Kena pukau
Bagi pekerja butik pakaian, Noraini Johari, 21, kejadian tersebut berlaku tanpa disedari seolah-olah di pukau. Katanya, dia tidak menyangka lelaki yang bertanyakan harga telekung di butik itu sebenarnya cuba mencari ruang untuk menipu. “Ketika itu kira-kira jam 1.30 tengah hari lelaki itu masuk ke butik
dan memberi salam sebelum bertanya sama ada saya seorang Muslim atau
tidak.
“Selepas itu dia bertanya mengenai mata wang Arab Saudi dan mahu
menukarnya, namun saya menjawab tiada, tetapi dia tidak percaya malah
berkeras mahu melihat sendiri mesin juruwang,” katanya. Katanya, berlaku sedikit adegan tarik menarik duit di dalam mesin sebelum dia tersedar apabila telefon miliknya berbunyi. “Sekelip mata saya tersedar sebelum lelaki itu melarikan diri dari butik,” katanya.
Situasi sama turut dialami pekerja kedai buku, Nurul Fadilah Mohd
Robin, 22, apabila lelaki berkenaan masuk ke kedai dan mahu menukar
duit. “Kejadian itu berlaku dengan pantas iaitu kira-kira lima minit, sebelum pihak pengawal menahan lelaki terbabit,” katanya. Nurul Fadilah berkata, itu kejadian pertama yang dialaminya selepas
tiga tahun bekerja di kedai itu dan ia pengalaman yang menakutkan.
Comments
Post a Comment