Wanita in bela 50 patung bayi
APABILA Alice Winstone, ibu kepada lima orang anak ini diberitahu
yang dia tidak boleh mengandung lagi atas sebab kesihatan, dia tetap
berazam untuk mengisi setiap inci ruang rumahnya dengan bayi.
Ibu berusia 39 tahun ini sanggup menghabiskan beribu-ribu ringgit
untuk membeli 50 anak patung bayi yang kelihatan betul-betul hidup.
Dalam masa tujuh tahun, dia membelanjakan sebanyak RM59,500 untuk
membeli anak patung palsu itu, walaupun tiga daripada lima anaknya masih
berkongsi rumah yang sama.
Obsesi Alice terhadap patung bayi yang setiap satunya berharga
RM5,900 menyebabkannya perlu menyimpan sebanyak RM247 sebulan. Akibat
hobi melampau itu, suaminya, Chris bertindak keluar dari rumah mereka
di Cardigan, Mid Wales, Britain.
Alice membeli bayi palsu pertamanya yang diberi nama Emily pada
harga RM892 selepas dia melihat iklan dalam majalah. Dia serta-merta
jatuh cinta dengan patung bayi itu.
Selepas melahirkan anak bongsunya, Jessica, yang kini berumur 12
tahun, Winstone diberitahu dia tidak boleh mengandung disebabkan
mempunyai gangguan darah yang akan membuatkan kandungannya tidak
selamat.
“Disebabkan masalah kesihatan yang dialami, saya tidak bekerja dan
mula mengumpul anak patung bayi. Setiap hari saya akan menguruskan
‘anak-anak’ saya ini dan sekali-sekala membawa mereka bersiar-siar
menaiki kereta.
Obses
“Saya menjaganya seperti saya mengasuh bayi saya sendiri. Mereka
seperti patung bernyawa dan saya berasa terjalin satu ikatan yang rapat
dengan mereka,” beritahu Alice.
Dia turut mengakui lebih gemar menjaga anak patungnya daripada mengadakan hubungan seks dengan suaminya.
“Saya cuba membela kucing, dan menjaganya seperti kanak-kanak tetapi
saya tidak dapat membayangkan perasaan di mana saya terpaksa mengucapkan
selamat tinggal kepada kucing belaan saya itu.
“Anak patung ini adalah yang terbaik. Saya dapat memakaikan mereka
baju, menyikat rambut dan mencuci pakaian mereka tanpa lampin kotor dan
menidurkan mereka,” ujarnya.
Alice memberitahu, dia menjadi sensitif terhadap patung-patungnya itu
dan bimbang sekiranya anak atau kucingnya berada berhampiran
patung-patung kesayangannya itu. Disebabkan itu, dia membeli katil bayi
dan memindahkan kesemua bayi palsunya itu ke bilik tidur.
“Akhirnya Chris berpindah keluar kerana dia tidak dapat menerima
kegilaan saya terhadap patung bayi palsu itu. Dia turut menyatakan yang
dia tidak faham mengapa saya melayan anak patung itu seperti bayi
sebenar.
“Saya cuba memberitahunya betapa mereka berjaya membuatkan saya
gembira selepas disahkan tidak boleh mengandung lagi tetapi dia hanya
menganggap itu adalah obsesi yang bodoh.
“Mereka (patung bayi) kemudian menjejaskan kehidupan seks kami
kerana saya mahu sesetengah daripada mereka berada di katil dengan kami,
tetapi Chris enggan.
“Kami telah berbincang tentang perkara-perkara lain dalam hubungan
kami, tetapi anak patung benar-benar tidak membantu walaupun mereka
kelihatan begitu hidup,” jelasnya.
Bayi sebenar
Tuturnya, dia lebih rela kehilangan suami daripada patung-patung
bayinya itu. Dia gemar apabila ‘anak-anak’ patungnya itu berada dekat
dengannya malah tidak dapat menanggung rindu sekiranya berjauhan
daripada mereka untuk tempoh yang lama.
“Selepas Chris berpindah keluar, saya menukar bilik kami menjadi nurseri kerana saya tidak memerlukan ruang tambahan.
“Chris masih melawat rumah kami untuk berjumpa tiga daripada lima
orang anak kami yang tinggal bersama saya iaitu Kyle, 17; Charlie, 15,
dan Jessica, 12.
“Sudah tentu, saya lebih menyayangi anak-anak saya kerana saya tahu bayi-bayi ini adalah palsu. Saya masih waras,” katanya.
Ujarnya lagi, walaupun sudah menghabiskan banyak wang untuk membeli
anak patung bayi itu, dia juga sering pergi ke pameran anak patung dan
menukar mereka dengan anak patung lain.
“Rhys adalah kegemaran saya, saya mahu tidur dengannya pada setiap
malam. Baru-baru ini, saya membawanya melawat Zoo Chester dan ramai
orang datang kepada saya sambil memberitahu dia comel tetapi mereka
tidak percaya apabila saya memberitahu yang Rhys adalah anak patung,”
tambahnya.
Dia juga pernah ditahan oleh pihak polis kerana membiarkan empat
daripada anak patungnya itu duduk di bahagian belakang tanpa menggunakan
kerusi bayi.
“Apabila saya memberitahunya mereka adalah anak patung, dia tidak mempercayai saya dan saya rasa dia fikir saya gila.
“Tetapi apabila dia sedar mereka bukan bayi sebenar, itu menunjukkan
berapa banyak peratus mereka kelihatan seperti kanak-kanak yang sebenar.
Sebab itulah saya menyukai mereka,” ceritanya.
Comments
Post a Comment