Hukum Tafsir mimpi

on Thursday, November 1, 2012


 


TEMAN saya menceritakan mimpinya kepada saya, lalu meminta saya mentafsirkan mimpi tersebut. Saya tidak memiliki apa-apa kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Apa hukumnya jika saya sengaja pandai-pandai mentafsirkan mimpi itu?

Jawapan:

Perbincangan tentang tafsir mimpi terdapat dalam setiap tamadun manusia. Sejak dulu lagi, mimpi dilihat sebagai isyarat ghaib yang hanya dapat difahami dan ditafsirkan oleh orang tertentu. Para pentafsir mimpi ini biasanya adalah para pakar rujuk keagamaan dalam tiap-tiap masyarakat tersebut.

Islam mengakui bahawa mimpi lebih daripada sekadar bunga tidur. Kadangkala ia mengandungi makna tertentu sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Namun begitu, tidak semua mimpi mengandungi makna yang boleh ditafsirkan.

Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." (riwayat Ibn Hibban).

Mimpi kebanyakan manusia seperti kita berkisar antara bentuk pertama dan kedua, yakni hanya mainan syaitan dan ciptaan imaginasi belaka. Mimpi seperti ini tidak perlu diendahkan apalagi dipaksakan untuk dicari makna di sebaliknya.

Adapun mimpi dalam bentuk ketiga, yakni mimpi bermakna yang disebut sebagai satu bahagian daripada kenabian, maka pemiliknya bukan sembarang orang. Mereka adalah orang soleh yang selalu menjaga diri daripada dosa dan maksiat.

Berkata Imam Al-Qurtubi: "Muslim yang jujur dan saleh menyerupai keadaan para nabi. Oleh itu mereka dianugerahi sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi, iaitu melihat ke alam ghaib melalui mimpi."

Meski begitu, tidak dinafikan kadang kala mimpi yang bermakna ini mendatangi orang-orang biasa, bahkan orang yang suka bermaksiat, jika dikehendaki oleh Allah SWT. Sebagaimana yang terjadi pada Firaun yang bermimpi tentang Nabi Musa yang akan menggulingkan kerajaannya. Namun kes pengecualian ini sangat jarang terjadi.

Sembarang mentafsir

Berkenaan dengan takwil mimpi pula, kita mesti menyedari bahawa kemahiran ini sebuah ilham daripada Allah, bukan satu cabang ilmu yang boleh dipelajari. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada hamba-hamba tertentu yang memiliki hati yang bersih daripada dosa dan maksiat.

Oleh itu, jangan tertipu oleh pelbagai buku tafsir mimpi yang terdapat di pasaran pada saat ini. Setakat membaca buku-buku seperti ini tidak melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi. Sebab bentuk mimpi yang sama boleh jadi mengandungi tafsiran yang berbeza mengikut perbezaan orang yang bermimpi, sifat-sifat dirinya dan masa mimpi itu didapatkan. Demikian yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Suyuti dalam kitab Al-Hawi li Al-Fatawi.

Para ulama menetapkan, siapa yang tidak memiliki keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram baginya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.

Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah sembarang orang mentafsirkan mimpi?" Beliau menjawab: "Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian." Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab Al-Tamhid. Wallahu a'lam.
Ranking: 5

3 comments:

  1. wah macam tu ke baru tau ! tq share ye

    ReplyDelete
    Replies
    1. You are most welcome KA..kita pun ingat isu ni biasa aje..tapi sebaliknya kan...

      Delete
  2. Rahsia mimpi sila jenguk blog saya k

    ReplyDelete

Langgan artikel Percuma via feed Follow @https://twitter.com/bspj88 di twitter Submit Your Site To The Web's Top 50 Search Engines for Free! Ping your blog, website, or RSS feed for Free
 
© Blog Santai All Rights Reserved