Hukum Tafsir mimpi
TEMAN saya menceritakan mimpinya kepada saya, lalu meminta saya mentafsirkan mimpi tersebut. Saya tidak memiliki apa-apa kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Apa hukumnya jika saya sengaja pandai-pandai mentafsirkan mimpi itu?
Jawapan:
Perbincangan tentang tafsir mimpi terdapat dalam setiap tamadun
manusia. Sejak dulu lagi, mimpi dilihat sebagai isyarat ghaib yang hanya
dapat difahami dan ditafsirkan oleh orang tertentu. Para pentafsir
mimpi ini biasanya adalah para pakar rujuk keagamaan dalam tiap-tiap
masyarakat tersebut.
Islam mengakui bahawa mimpi lebih daripada sekadar bunga tidur.
Kadangkala ia mengandungi makna tertentu sebagai satu peringatan
daripada Allah SWT. Namun begitu, tidak semua mimpi mengandungi makna
yang boleh ditafsirkan.
Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang
merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam.
(Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat
terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu
daripada 46 bahagian kenabian." (riwayat Ibn Hibban).
Mimpi kebanyakan manusia seperti kita berkisar antara bentuk pertama
dan kedua, yakni hanya mainan syaitan dan ciptaan imaginasi belaka.
Mimpi seperti ini tidak perlu diendahkan apalagi dipaksakan untuk dicari
makna di sebaliknya.
Adapun mimpi dalam bentuk ketiga, yakni mimpi bermakna yang disebut
sebagai satu bahagian daripada kenabian, maka pemiliknya bukan sembarang
orang. Mereka adalah orang soleh yang selalu menjaga diri daripada dosa
dan maksiat.
Berkata Imam Al-Qurtubi: "Muslim yang jujur dan saleh menyerupai
keadaan para nabi. Oleh itu mereka dianugerahi sebahagian daripada apa
yang diberikan kepada para nabi, iaitu melihat ke alam ghaib melalui
mimpi."
Meski begitu, tidak dinafikan kadang kala mimpi yang bermakna ini
mendatangi orang-orang biasa, bahkan orang yang suka bermaksiat, jika
dikehendaki oleh Allah SWT. Sebagaimana yang terjadi pada Firaun yang
bermimpi tentang Nabi Musa yang akan menggulingkan kerajaannya. Namun
kes pengecualian ini sangat jarang terjadi.
Sembarang mentafsir
Berkenaan dengan takwil mimpi pula, kita mesti menyedari bahawa
kemahiran ini sebuah ilham daripada Allah, bukan satu cabang ilmu yang
boleh dipelajari. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada hamba-hamba
tertentu yang memiliki hati yang bersih daripada dosa dan maksiat.
Oleh itu, jangan tertipu oleh pelbagai buku tafsir mimpi yang
terdapat di pasaran pada saat ini. Setakat membaca buku-buku seperti ini
tidak melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi. Sebab bentuk mimpi yang
sama boleh jadi mengandungi tafsiran yang berbeza mengikut perbezaan
orang yang bermimpi, sifat-sifat dirinya dan masa mimpi itu didapatkan.
Demikian yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Suyuti dalam kitab Al-Hawi li Al-Fatawi.
Para ulama menetapkan, siapa yang tidak memiliki keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram baginya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.
Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah sembarang orang mentafsirkan
mimpi?" Beliau menjawab: "Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian?
Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh
bermain-main dengan kenabian." Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar
dalam kitab Al-Tamhid. Wallahu a'lam.
wah macam tu ke baru tau ! tq share ye
ReplyDeleteYou are most welcome KA..kita pun ingat isu ni biasa aje..tapi sebaliknya kan...
DeleteRahsia mimpi sila jenguk blog saya k
ReplyDelete