Arah kiblat
ARAH menghadap ketika solat disebut 'kiblat', iaitu Kaabah di Mekah, Arab Saudi. Kiblat berasal daripada bahasa Arab al-qiblah yang bererti arah. Kata al-qiblah sendiri berasal daripada kata kerja qabala-yaqbalu yang bermaksud menghadap.
Kewajipan umat Islam untuk berkiblat ke Kaabah di Mekah bermula pada
tahun kedua Hijrah. Sebelum itu, ketika melaksanakan solat, umat Islam
masih menghadap ke al- Sakhrah di Baitulmaqdis.
Perubahan arah kiblat solat ini didasarkan pada firman Allah SWT yang
memerintahkan umat Islam mengubah arah kiblat dari Baitulmaqdis ke
Masjidil Haram di Mekah.
Batas kiblat
Ada dua ayat yang menyebut tentang batas kiblat bagi umat Islam, iaitu al-Baqarah: 144 dan 150 yang bermaksud: Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram.
Kata syatr (arah) dalam ayat tersebut dipertikaikan oleh ulama
fikah. Ada yang memahaminya sebagai 'tepat mengarah ke Kaabah' dan ada
pula yang memahaminya 'sekitar Kaabah sekalipun tidak tepat menghadap
Kaabah'.
Kedua-dua pendapat tersebut dibenarkan kerana mereka yang berada di
sekitar dan langsung melihat Kaabah tentu harus menghadap ke Kaabah.
Kiblat al-sakhrah
Sejarah mencatatkan bahawa ketika Nabi Muhammad SAW bersama-sama para
sahabat tiba di Madinah (622M), Allah SWT memerintahkan umat Islam
untuk berkiblat ke al-Sakhrah (batu cadas) di Baitulmaqdis.
Akibatnya, orang Yahudi, sebahagian besar penduduk Yathrib (Madinah)
pada waktu itu, berasa bangga kerana umat Islam berkiblat ke tempat
kiblat mereka. Bahkan mereka kadang-kadang mengejek umat Islam dan
menganggap bahawa Muhammad SAW mengikuti kiblat mereka.
Nabi Muhammad SAW memohon ke hadrat Allah SWT supaya umat Islam berkiblat ke Kaabah.
Allah berfirman yang bermaksud: Kerap kali Kami melihat engkau
(wahai Muhammad), berulang- ulang menengadah ke langit maka kami
benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu,
palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. (al-Baqarah: 144).
Orang yang tidak mengetahui arah kiblat boleh berijtihad untuk
menentukan arah kiblat. Tanda alam yang dapat dijadikan petunjuk ialah
fajar, matahari dan arah mata angin.
Bagaimanapun, jika ada orang boleh dipercayai, maka petunjuknya boleh
juga diikuti. Ketika masuk waktu solat semasa berada di atas kenderaan
seperti kereta api, orang Islam boleh melakukan solat tanpa menghadap
kiblat.
Mihrab
Mihrab ialah bahagian bangunan masjid yang menentukan arah kiblat.
Mihrab berfungsi sebagai tempat imam memimpin solat jemaah. Masjid
terikat dengan kiblat dan mempengaruhi kedudukan, corak dan struktur
mihrab.
Perkembangan seni bina Islam banyak mengilhamkan pembangunan mihrab
yang hebat. Biasanya terdapat sebuah mimbar di mirhab yang menjadi
bahagian utama keindahan seni bina dalaman masjid.
Ujian ketaatan
Perintah pemindahan kiblat dari al-Sakhrah di Baitulmaqdis ke Kaabah
di Mekah membuatkan orang Yahudi tertanya-tanya, "Apakah yang
menyebabkan umat Islam mengubah kiblat ibadatnya?"
Pemindahan kiblat tersebut bertujuan antara lain untuk menguji
ketaatan umat Islam dan untuk menunjukkan kehendak dan kekuasaan Allah
SWT.
Timur dengan barat
Kiblat bagi orang yang tidak melihat Kaabah ialah arah Kaabah, sesuai
dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: "Arah antara timur
dengan barat adalah kiblat. Bahkan, kiblat Kaabah tidak terbatas pada
timur dan barat saja, tetapi termasuk juga udaranya, baik ke atas
mahupun ke bawah."
Oleh sebab itu, orang yang berada di angkasa atau di dasar laut, umpamanya, boleh melakukan solat.
Source
Comments
Post a Comment