Breaking News

Monday, December 3, 2012

Kenali sifat-sifat munafik

Menjauhi sifat-sifat munafik
Pada zaman awal Islam, terdapat satu kelompok yang pada zahirnya seperti orang-orang Islam, tetapi mereka sebenarnya adalah orang-orang yang benci kepada Islam. Apabila orang-orang Islam mengerjakan ibadah-ibadah, mereka akan mengikutinya, sedang dalam masa sama mengkufuri apa yang mereka lakukan itu.

Kelompok yang dimaksudkan adalah golongan munafik. Mereka menzahirkan keislaman, dan menyembunyikan kekafiran. Hakikatnya mereka bukan orang-orang yang beriman kepada ALLAH dan Rasul-Nya.


Golongan munafik ini tidak terhad kewujudan mereka pada zaman awal Islam sahaja, bahkan kelompok ini muncul pada setiap zaman dalam lapisan masyarakat Islam.

Ibnu Rajab al-Hanbali (wafat 486H) menyatakan dalam bukunya, Jami’ al-Ulum wa al-Hikam, munafik ini terbahagi kepada dua, iaitu; munafik akbar (munafik besar), dan munafik ashgar (munafik kecil).

Munafik besar adalah seorang yang menzahirkan keimanan kepada ALLAH, dan Rasul-Nya akan tetapi batinnya menyembunyikan kekafiran. Mereka berpura-pura memeluk agama Islam.

Munafik kecil pula adalah seorang yang menzahirkan kebaikan, dan menyembunyikan keburukan, tetapi ia tidak sampai kepada tahap kafir kepada ALLAH. Dia memiliki ciri-ciri orang munafik, tetapi dalam hatinya bukanlah seorang yang kafir kepada ALLAH.

Ciri-ciri orang munafik


Daripada Abdullah bin Amru, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:


“Empat perkara yang jika ada pada seseorang, maka dia seorang munafik. Jika ada padanya salah satu sifat daripada empat sifat itu, maka dia mempunyai sifat munafik sehingga dia meninggalkan sifat itu.”

“(Empat sifat itu adalah), apabila dia berkata dia berdusta, apabila dia berjanji dia memungkiri janji, apabila dia bertengkar dia melampaui batas, apabila dia berjanji, dia mencabul perjanjian.” (Riwayat Al-Bukhari, no: 33)

Berdasarkan hadis di atas, terdapat beberapa ciri-ciri golongan Munafik yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW. Sebenarnya ciri-ciri munafik tidak terhad seperti yang dikhabarkan dalam hadis di atas.

Terdapat beberapa lagi sifat orang munafik dikhabarkan dalam al-Quran dan as-Sunnah, sedangkan empat ciri yang disebutkan oleh Rasulullah SAW di atas adalah ciri yang dominan pada diri golongan ini.


Pertama, “apabila dia berkata dia berdusta” iaitu saat dia bercakap kepada orang yang mempercayainya, tanpa mereka ketahui sebenarnya dia sedang berdusta. Ibnu Rajab Al-Hanbali meriwayatkan bahawa Al-Hasan menyatakan, asas kemunafikan adalah terbina di atas dusta ataupun pembohongan.

Kedua,
“apabila dia berjanji dia memungkiri janji”. Perkara ini dilihat daripada dua bentuk. Pertama seseorang itu berjanji, sedangkan dalam masa yang sama dia telah meniatkan dalam hatinya tidak akan menunaikan janji tersebut. Inilah janji dusta. Kedua, seseorang itu berjanji, dan dia berniat untuk menunaikan janjinya, tetapi kemudian dia mengingkari janji tersebut tanpa sebarang keuzuran.

Ketiga, “apabila dia bertengkar dia melampaui batas” iaitu bertengkar sehingga melampaui batas, dan terjebak dalam perkara yang diharamkan agama. Sebagai contoh, dua orang manusia yang bergaduh kerana perkara yang boleh diselesaikan secara mudah, tetapi ia dibesar-besarkan sehingga berlakunya pembunuhan, pendustaan, fitnah dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang yang paling dibenci ALLAH TAALA adalah seorang paling kuat berkelahi dan banyak bertengkar.” (Riwayat Al-Bukhari, no: 2777)

Keempat, “apabila dia berjanji, dia mencabuli perjanjian”.  Sikap ini bertentangan dengan sifat orang beriman yang dikhabarkan dalam al-Quran. ALLAH berfirman: “...dan tepatilah perjanjian, sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya (oleh ALLAH di akhirat nanti).” (Surah Al-Israa’, 17: 34)

Kelima, “apabila dia diberikan amanah, dia mengkhianatinya”. Ciri yang kelima ini disebutkan dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Sifat ini bertentangan dengan perintah ALLAH: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati ALLAH dan Rasul-Nya, dan jangan kamu khianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui.” (Surah Al-Anfaal, 8: 27)



Ketakutan para sahabat terhadap sifat munafik

Suatu hari seorang sahabat Rasulullah SAW, yang bernama Hanzalah lalu berhampiran Abu Bakar sambil menangis, lalu Abu Bakar bertanya kepadanya: “Mengapakah engkau menangis wahai Hanzalah?”


Hanzalah menjawab: “Hanzalah telah munafik wahai Abu Bakar. Ketika kami berada di sisi Rasulullah SAW sambil Baginda mengingatkan kita tentang syurga dan neraka. Seolah-olah kami melihatnya dengan mata. Namun apabila kami pulang, kami sibuk dengan isteri dan pekerjaan, lalu kamu melupai banyak perkara yang diperingatkan Nabi SAW.”

Abu Bakar pun berkata, “Demi ALLAH, aku juga begitu.” Mereka berdua pun pergi menemui Rasulullah SAW. Baginda pun bertanya yang bermaksud:

“Mengapakah kamu (menangis), wahai Hanzalah?”. Hanzalah menjawab: “Hanzalah telah munafik, wahai Rasulullah.” Kemudian menyebutkan kepada Baginda SAW seperti apa yang telah dikatakannya kepada Abu Bakar.


Mendengarkan luahan Hanzalah itu, Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud:

“Kalaulah kamu berterusan dalam keadaan ketika kamu beredar dari sisiku, pasti para malaikat akan berjabat tangan dengan kamu dalam majlis-majlis dan jalan-jalan kamu. Tetapi, wahai Hanzalah, (tidaklah salah jika keadaan kamu begini) seketika, dan begitu seketika yang lain pula.” (Riwayat Muslim, no: 4937)

Jangan mudah melabel


Meskipun dalam hadis di atas, Rasulullah SAW menyatakan tentang ciri-ciri orang munafik, ia bukanlah bertujuan untuk melabel orang tertentu sebagai munafik.


Perbuatan menuduh orang lain sebagai munafik tanpa alasan yang kukuh, adalah satu bentuk prasangka buruk. Ini kerana munafik atau tidak seseorang itu hanyalah diketahui secara hakikatnya oleh ALLAH SWT, dan apa yang dikhabarkan oleh ALLAH melalui Rasul-Nya.

Menuduh orang lain sebagai munafik berdasarkan hadis di atas, adalah tidak sewajarnya berlaku. Apa yang perlu, kita sepatutnya mengambil iktibar daripadanya, serta memuhasabah diri. Apakah ciri-ciri orang munafik itu ada pada diri kita atau sebaliknya.

Ingin disentuh juga di sini mengenai kekeliruan segelintir daripada kita, iaitu menzahirkan sifat buruk yang mengundang dosa secara terang-terangan seperti tidak menutup aurat dan sebagainya, atas alasan ‘tidak mahu menjadi hipokrit atau munafik’, kerana berpura-pura baik.


Ini adalah kekeliruan dan tipu daya syaitan. Tidak boleh menjadikan ‘tidak mahu menjadi hipokrit atau munafik’ sebagai alasan untuk melakukan kemungkaran dan keburukan. Malah, melakukan kemungkaran secara terang-terangan akan menjatuhkan seseorang kepada sifat orang fasik ataupun pelaku dosa besar yang dicela oleh agama.

Kesimpulannya, hendaklah kita memperbaiki diri dari masa ke masa dan berusaha mengikis ciri-ciri munafik sekiranya ciri tersebut terdapat dalam diri kita, agar terlaksana matlamat hidup kita di dunia, iaitu menyembah ALLAH SWT. Wallahu a’lam.


Source

2 comments:

  1. semoga kita tergolong dlm kalangan org yg munafik

    ReplyDelete
    Replies
    1. Semoga kita bukan one of them..jaga diri and honor to the words..

      Delete

Designed By