Situasi di Syria sangat membimbangkan


Seorang anggota pemberontak melepaskan tembakan menggunakan meriam antipesawat di Binsh, berhampiran Idlib, Syria, kelmarin. - REUTERS 


DAMSYIK 25 Dis. - Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi yang bertemu Presiden Bashar al-Assad semalam, menyifatkan situasi di Syria sangat 'membimbangkan'.

Brahimi turut menyatakan tidak ada perkembangan baharu dicapai dalam rundingan untuk mencari penyelesaian kepada perang saudara yang telah berlanjutan hampir 21 bulan di Syria.

Menurut utusan PBB itu, beliau dan Assad bertukar-tukar pandangan mengenai krisis di Syria dan membincangkan langkah selanjutnya yang perlu dibuat, tetapi tidak mendedahkannya.

"Situasi di Syria masih membimbangkan dan kami berharap semua pihak berusaha mencari penyelesaian kepada krisis ini," katanya kepada wartawan selepas mengadakan rundingan dengan Assad di Istana Presiden di Damsyik, semalam.

Agensi berita Syria yang memetik Assad sebagai berkata, kerajaan negara ini menyokong 'sebarang usaha yang menjadi kepentingan rakyat Syria dan mengekalkan kedaulatan serta kemerdekaan negara ini'.

Selepas menemui Assad semalam, Brahimi hari ini menemui tiga kumpulan pembangkang di Damsyik dalam usaha beliau menamatkan krisis yang telah mengorbankan lebih 44,000 orang.

Beliau menemui enam delegasi yang diketuai Hassan Abdel Azim, ketua Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Perubahan Demokrati (NCCDC) di sebuah hotel di Damsyik, menurut koresponden.

NCCDC turut membawa beberapa kumpulan nasionalis Arab, Kurdish, Sosialis dan Marxis. Sementara itu, Amerika Syarikat (AS), mengecam serangan 'kejam' yang mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang oleh tentera Syria ke atas sebuah kilang roti di bandar Halfaya, wilayah Hama, kelmarin.

"Serangan ganas seperti itu menunjukkan kerajaan Assad tidak mempunyai masa depan di Syria.

"Mereka yang melakukan perbuatan kejam perlu dipertanggungjawabkan dan AS menggesa semua pihak yang membantu kerajaan Syria menghentikan sokongan mereka," kata pemangku jurucakap Jabatan Negara AS, Patrick Ventrell dalam satu kenyataan. - AGENSI

 



Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat