Skip to main content

Sempurnakan Solat Kita?



Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang hamba itu bersolat dan hanya mendapat (pahala) satu persepuluh daripada solatnya, atau satu persembilan, satu perlapan, satu pertujuh, satu perenam, satu perlima, satu perempat, satu pertiga atau satu perdua (separuh)." (Riwayat Abu Daud)

Seseorang Mukmin memperoleh ganjaran pahala solat berdasarkan kesungguhannya memerhatikan hal ehwal solatnya dengan menyempurnakan segala rukun dan syarat-syaratnya serta hatinya ditumpukan sepenuhnya kepada (mengingati) Allah sewaktu mengerjakannya. 


Walaupun solat itu dikerjakan sebaik manapun, tiada kepastian yang seseorang itu mendapat nilai penuh daripada solatnya. Barangkali hanya solat Rasulullah SAW dan sahabat Baginda diberi nilai (pahala) seratus peratus oleh Allah SWT.

Apabila mati seseorang itu, tiada baginya masa untuk memperbaiki solatnya semula"
Namun, berdasarkan hadis itu, peratus paling tinggi yang dapat dicapai Mukmin ialah seperdua atau separuh saja. Ini sebenarnya dorongan kepada Mukmin untuk berusaha bersungguh-sungguh memperelok pelaksanaan solatnya.

Khusyuk berperanan penting bagi menghasilkan solat yang bernilai selain kesempurnaan segala rukun dan syaratnya. Untuk mencapai khusyuk dalam solat memang sukar dan sebab itu nilai peratus yang diperoleh mukmin daripada solatnya adalah berbeza.

Tergesa-gesa datang daripada syaitan

Syaitan memang berprestasi cemerlang dalam menyesatkan manusia. Syaitan sentiasa mengganggu mukmin termasuk ketika sedang menyembah Allah SWT dengan mempengaruhi mereka supaya terburu-buru menyelesaikan solatnya. 

Kata Ibnul Qayyim: “Sesungguhnya tergesa-gesa itu datang daripada syaitan kerana tergesa-gesa adalah sifat gelabah yang menghalangi seseorang itu berhati-hati, tenang dan santun serta meletakkan sesuatu pada tempatnya.”

Pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang yang solat dengan tergesa-gesa lalu Rasulullah memerintahkannya supaya mengulangi solatnya kerana yang dikerjakannya tadi belum sah.

Rasulullah bersabda kepadanya: “Apabila kamu solat, bertakbirlah (takbiratul ihram), lalu bacalah daripada al-Quran yang mudah bagimu, lalu rukuklah sampai kamu benar-benar rukuk (tomakninah), lalu bangkitlah daripada rukuk sampai kamu tegak berdiri. Kemudian sujudlah sampai kamu benar-benar sujud (tomakninah) dan lakukanlah hal itu dalam setiap rakaat solatmu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sangat menarik untuk direnung ucapan seorang ulama, Yazid ar-Raqash, yang mengkhususkan ucapan itu untuk menasihati dirinya sendiri dengan mengemukakan pertanyaan: “Wahai Yazid ar-Raqash, siapakah yang akan mengerjakan solat bagi dirimu selepas kamu mati?”

Soalan itu beliau kemukakan kerana sedar bahawa solat yang dilakukannya selama ini ibarat seorang murid atau pelajar yang memasuki ujian peperiksaan, tetapi keputusan ujian itu dirahsiakan. Bolehkah dia yakin bahawa dia lulus ujian?

Dihisab di Padang Mahsyar

Semuanya menjadi teka teki dan keputusannya hanya akan diketahui apabila catatan amal seseorang itu telah dibentangkan Allah pada hari hisab di Padang Mahsyar kelak.

Apabila solat yang dilakukan itu cacat dan tidak memenuhi rukun serta segala syarat yang selayaknya, maka solat itu pasti ditolak oleh Allah. Apabila mati seseorang itu, tiada baginya masa untuk memperbaiki solatnya semula.

Cara mencapai khusyuk dalam solat ialah menghadirkan hati semasa solat dan mengosongkan ingatan daripada sebarang kesibukan duniawi. Mukmin yang bersolat hendaklah beranggapan bahawa ia sedang menghadap Allah Yang Maha Agung.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat