Sultan Sulu mahu berunding, setelah ramai terkorban !!!



SULTAN JAMALUL KIRAM III (kanan) duduk di dalam rumahnya di Taguig, selatan Manila semalam.



MANILA, Filipina - Seorang ketua suku kaum Sulu berdarah raja dan beragama Islam yang mendakwa sebagai Sultan Sulu, Jamalul Kiram III semalam berkata, beliau masih terbuka untuk berbincang dengan pemerintah Filipina walaupun masih berdiri teguh dengan pendirian menolak untuk memberi arahan supaya penyokongnya di Lahad Datu, Sabah keluar tanpa sebarang syarat, lapor portal berita Daily Inquirer semalam.


Namun, sehingga tengah hari semalam, tiada sebarang utusan daripada pentadbiran Presiden Filipina, Benigno Aquino III yang menghubunginya."Sebarang rundingan masih belum terlewat kerana segala-galanya masih terbuka. Pintu rundingan masih berbuka," kata Kiram kepada para wartawan di rumahnya di Bandar Taguig.
 
Aquino telah menuntut supaya sekumpulan rakyat Filipina di Sabah yang diketuai adik Kiram, Raja Muda Agbimuddin Kiram menyerah diri tanpa syarat. Tuntutan itu dibuat selepas keadaan di Lahad Datu, Sabah bertambah tegang.
 
Sementara itu, Jurucakap Kiram, Abraham Idjirani dalam satu wawancara di sebuah stesen radio berkata, mereka cuba menelefon Agbimuddin tetapi telefonnya hanya berdering sekali.

"Kira-kira pukul 5 pagi kami cuba menelefon beliau (Agbimuddin) tetapi tidak berjawab," kata Idjirani dalam wawancara di stesen radio dzBB semalam. Sebelum ini, Idjirani pernah berkata, raja muda itu telah berpindah ke lokasi lain untuk meneruskan perjuangan mereka.
"Jika konfrontasi ini berakhir, ia bermakna sama ada raja muda dan pengikut-pengikutnya dibunuh atau ditangkap," ujarnya ketika itu.


Kumpulan bersenjata itu menyeludup masuk ke Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo, Lahad Datu sejak bulan lalu.Kesultanan Islam Sulu memajak Borneo Utara (Sabah) kepada kuasa Eropah pada tahun 1870-an.
 
Selepas kekuasaan kesultanan itu beransur pudar ekoran kemasukan kuasa Barat di rantau berkenaan, ia masih menerima bayaran pajakan untuk Sabah.

Sabah yang merupakan bekas koloni British menjadi sebahagian Persekutuan Malaysia pada 1963. Berdasarkan perjanjian pajakan tersebut, Kesultanan Sulu diberikan pampasan tahunan berjumlah sekitar AS$1,700 (RM5,264) menurut nilai semasa.
 
Pada 26 Februari lalu, Aquino meminta Kiram mengarahkan pengikutnya itu berundur dari bumi Malaysia secepat mungkin. Beliau memberi amaran tindakan undang-undang akan diambil ke atas Kiram jika para pengikutnya tidak keluar dari Lahad Datu. - Agensi


Comments

  1. sepatutnyer diselesaikan dgn cara terbaik awal2 sebelum ada yg terkorban ~

    ReplyDelete
  2. tapi masih x kuar² jugak..ape da jadi?

    ReplyDelete
  3. hah.. sekarang baru nak runding tapi masih degil..

    ReplyDelete
  4. rasa geram..marah dgn dia ni sebenarnya..
    knpla nak buat kacau bilau di tempat org..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat