Skip to main content

Penduduk pukul penceroboh bersenjata M16 hingga mati di Semporna

Perkembangan pencerobohan di Lahad Datu
 

SEMPORNA - Puluhan penduduk bertindak memukul sehingga mati lelaki bersenjata M16, yang dipercayai terlibat dalam serangan hendap yang mengorbankan lima anggota polis, di Kampung Sri Jaya, Siminul, Semporna malam tadi.

Bagaimanapun sehingga kini polis belum memberi pengesahan tentang identiti lelaki itu.

Dalam insiden 7 pagi hari ini, seorang lelaki berbadan besar, berpakaian serba hitam, memegang senjata M-16 dan berumur dalam lingkungan 50-an turun daripada sebuah bukit dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah surau di Kampung Senallang Lama, Semporna di sini.


Seorang penduduk, Abdul Hani Samaullah, 44, berkata selepas melepaskan tembakan lelaki itu turut menjerit di hening pagi bahawa "saya yang menembak polis malam tadi".

"Lelaki itu kemudian membuka setiap pintu rumah penduduk dan mengarahkan mereka berkumpul di satu kawasan lapang," katanya yang turut berkumpul bersama penduduk di dalam keadaan ketakutan.

Abdul Hani berkata penduduk menyerang lelaki terbabit apabila dia bertinggung dan memasang api rokok serta meletakkan senjatanya.
Beliau berkata lelaki itu dipukul hingga mati dan mayatnya diletakkan dekat dengan sebuah pokok di kampung itu.

Wartawan Bernama yang dalam perjalanan membuat liputan majlis perasmian jambatan baharu oleh Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Kampung Nihak Nihak, pada 8.30 pagi iaitu 30 kilometer daripada Kampung Senallang Lama, sempat melihat mayat lelaki itu dan mendapati kepala lelaki itu berlumuran darah.


Kelihatan penduduk mengemas beg pakaian mereka dan mengosongkan rumah mereka dengan membawa anggota keluarga, termasuk kanak-kanak dan wanita, untuk melarikan diri ke kawasan kampung lain.


Kebanyakan penduduk adalah petani dan pekebun ladang kelapa sawit. Cubaan Bernama untuk menghubungi Ketua Polis Daerah Semporna DSP Mohd Firdaus Francis Abdullah untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.

Kampung Sri Jaya Simunul terletak di pinggir bandar Semporna dan Kampung Senallang Lama pula kira-kira lima kilometer dari pekan itu. Tinjauan Bernama di pekan Semporna hari ini mendapati pekan itu kini lengang apabila hampir semua premis perniagaan ditutup, termasuk tiga stesen minyak.

Pasar Awam Semporna yang biasanya begitu sibuk dengan peniaga dan pelanggan juga sepi apabila hanya kelihatan segelintir peniaga membuka gerai mereka, malah kaum nelayan juga tidak turun ke laut untuk menangkap ikan.
Sementara itu pelancong dari Republik Czech Jam Pesta, 67, yang bersama keluarganya merancang untuk bercuti ke Pulau Mabul berharap insiden pertempuran antara pasukan keselamatan dan kumpulan bersenjata yang tidak dikenali itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin.

"Saya dapati Semporna mungkin antara destinasi pelancongan terbaik di dunia dan sudah tentu di kawasan Asia. Saya berharap insiden ini cepat berakhir," katanya.
Beliau berkata rancangan percutiannya ke Pulau Mabul bersama isteri dan anggota keluarganya ditangguh ke tarikh yang belum ditentukan oleh agensi pelancongan.

"Saya sudah di sini selama dua hari. Sepatutnya esok saya dan isteri ke Pulau Mabul namun secra tiba-tiba ditangguh oleh agensi pelancongan," katanya.

Sementara itu, beberapa penduduk Kampung Sri Jaya yang ditemui pula berkata hampir kesemua kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk kampung itu telah meninggalkan rumah masing-masing. - Bernama









Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat