Pengganas Sultan Sulu rancang bakar kampung
rumah selepas mendengar kampung mereka akan dibakar pengganas Sultan Sulu semalam.
SEMPORNA - Tragedi berdarah yang mengorbankan enam anggota polis di
Kampung Seri Jaya, Simunul di sini menakutkan penduduk kampung selepas
mereka mendengar khabar angin kumpulan pengganas itu merancang membakar
kampung mereka.
Seorang penduduk, Nazmah Datugis, 40, berkata, sejak tercetus khabar
angin itu, dia dan ahli keluarga membuat keputusan meninggalkan kampung
itu buat sementara kerana bimbang dengan khabar angin tersebut.
"Kami terpaksa meninggalkan rumah kerana kumpulan tersebut tidak
berhati perut dan sanggup melakukan apa sahaja termasuk membunuh," kata
Nazmah yang sedang berkemas untuk meninggalkan kampungnya semalam.
Wandi Ipong, 52, pula berkata, khabar angin sejak kelmarin itu
membuatkan dia dan penduduk kampung berasa tidak selamat walaupun
menyedari pihak polis memberi jaminan keadaan di kampung tersebut masih
terkawal.
"Kami dan beberapa penduduk tidak sanggup menanggung risiko untuk terus tinggal di sini," kata Wandi. Tambah Wandi lagi, dia dan keluarga akan berpindah buat sementara
waktu ke rumah kenalannya di kampung berhampiran dan hanya akan pulang
semula selepas keadaan benar-benar aman.
Sementara itu, Ketua Kampung Seri Jaya, Panglima Ramlee Saraman
berkata, beliau tidak dapat menghalang tindakan beberapa penduduk yang
ingin berpindah ke tempat lain.
"Saya sudah menasihati semua penduduk supaya bertenang namun ada sebahagian penduduk tetap mahu pindah," kata Ramlee.
Sementara itu, tinjauan di pekan Semporna mendapati walaupun keadaan tenang namun penduduknya hidup dalam keadaan berjaga-jaga. Beberapa kedai dilihat hanya membuka separuh premis untuk urusan perniagaan.
Selain itu, difahamkan, sebahagian nelayan turut enggan turun ke laut
kerana bimbang dengan kejadian berdarah yang merebak ke sini. Seorang nelayan, Ibrahim Jailani, 40, berkata, nelayan-nelayan
terutamanya dari Kampung Seri Jaya mengambil keputusan untuk tidak
menangkap ikan sejak Sabtu lalu.
"Jika esok keadaan lebih tenang, baru nelayan bercadang turun ke
laut. Hasil tangkapan ikan merupakan sumber pendapatan penduduk di
sini," katanya ketika ditemui semalam.
Bagi Abdullah Sapayani, 55, pula, walaupun tiada serangan terbaharu di pekan ini namun penduduk masih berada dalam ketakutan.
"Tindakan polis menyerbu dan menembak balas tindakan kumpulan
pengganas yang membunuh anggota polis merupakan tindakan tepat," kata
Abdullah.
Seorang suri rumah, Norpaidah Samat, 40, berkata, sejak tinggal di
sini pada tahun 1970, ini merupakan insiden berdarah pertama yang
dilaluinya.
Sejak tercetus pergolakan itu, Norpaidah berkata, dia sekeluarga
terpaksa menggunakan tilam dan kusyen tempat duduk untuk diletakkan di
dinding rumah sebagai benteng.
"Saya takut. Anak-anak saya juga ramai yang masih kecil," katanya.
Salam,
ReplyDeleteAndai kita pun berada di sana, pasti ketakutan sepanjang masa. Semoga Allah memberi mereka kekuatan, kesabaran dan keberanian dlm menempuh saat2 mencemaskan ini.