Breaking News

Sunday, March 17, 2013

Salji di Gurun Sahara


PENEMUAN mayat ibu dan anak di Gurun Sahara.


GURUN Sahara yang berkeluasan 4.6 juta kilometer persegi dengan keadaan suhu ekstrem mencecah 38 darjah Celsius pada waktu siang dan -5 darjah Celsius pada waktu malam bukan sahaja tidak menyukarkan pergerakan manusia malah tidak mesra haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Namun, terdapat beberapa kisah menarik gurun yang meliputi beberapa buah negara antaranya Senegal, Mauritania, Mali, Niger, Libya dan Mesir ini.

Percaya atau tidak, Gurun Sahara sebenarnya dihiasi sebuah tasik yang indah.

Tasik Ounianga yang terletak di Chad bergantung kepada sumber air bawah tanah yang wujud sejak zaman purba memandangkan iklim Sahara yang lembap pada masa itu.
Purata hujan tahunan tidak melebihi 2 milimeter (mm).

Pakar-pakar mendakwa 5,500 tahun dahulu tasik itu merupakan sebuah takungan besar yang panjangnya merentasi beratus-ratus kilometer.

Namun, perubahan iklim menyebabkan keluasan tasik itu menyusut.


SALJI memenuhi Gurun Sahara pada awal tahun lepas yang menimbulkan misteri kepada pengkaji.


Fosil dinosaur

Selain kisah tasik unik itu yang menjadi ikon pelancongan Chad, pada tahun 2008 pengkaji menemui kubur seorang wanita bertubuh kecil dengan dua kanak-kanak yang dipercayai berusia kira-kira 5,000 tahun. Mereka disemadikan bersama hamparan bunga-bungaan.
Peliknya, lengan kurus kanak-kanak tersebut masih ‘memeluk’ wanita itu seakan-akan pernah berlaku kejadian besar ketika itu.
Paul Sereno dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat dan rakan-rakannya sebenarnya sedang mencari fosil dinosaur di kawasan gurun itu di Niger.
“Kami telah menemui sesuatu yang paling tidak dijangkakan. 
“Apabila kami menemui perkara seperti ini di tengah-tengah kawasan gurun ini, kami berasa aneh,” katanya.
Kira-kira 200 kubur manusia ditemui dalam usaha pencarian fosil dinosaur di situ pada tahun 2005 dan 2006. Tidak ketinggalan juga tulang haiwan seperti ikan besar dan buaya.
“Di mana sahaja anda pergi, anda akan menemui tulang-tulang haiwan yang tidak mendiami gurun ini.
“Kami mula sedar bahawa kami berada di ‘gurun’ yang hijau,” katanya.
Kubur-kubur tersebut yang tersembunyi di sebalik laluan angin gurun yang panas dipercayai terletak berdekatan tasik pada masa itu.
Dahulu, perubahan orbit matahari menyebabkan angin monsun bertiup jauh hingga ke utara yang membentuk landskap bertasik dan kawasan subur sekali gus menarik kedatangan haiwan dan manusia.


FOSIL ini didakwa berusia 5,000 tahun.


Syurga penternakan
Para pengkaji juga membuat kesimpulan sekitar 10,000 tahun lalu, Gurun Sahara mengalami fasa lembap Holosen Afrika menyebabkan tumbuhan hijau tumbuh subur di benua itu.
Ini mendorong kepada kewujudan kawasan penternakan lembu susu.
Penyelidikan ini berdasarkan gambar yang terdapat pada tembikar dan batu-batu kuno menunjukkan bahawa sekitar 7,000 tahun lalu di Gurun Sahara terdapat lembu, sapi, biri-biri serta kambing.
Lebih meyakinkan apabila terdapat gambar pemerahan susu dan penternak yang sedang mengolah susu untuk dijadikan yogurt, keju dan mentega.
Menurut seorang pakar arkeologi dari Universiti Bristol, Kanada, Julie Dunne, ini berdasarkan hasil analisis pecahan tembikar kuno yang ditemui di Libya.
“Apa yang paling menarik adalah penemuan sebuah kendi yang didapati mengandungi sisa susu. Pakar mengandaikan susu merupakan bahan makanan yang sangat berguna bagi masyarakat zaman prasejarah. Mungkin masyarakat zaman dahulu sudah faham istilah khasiat makanan,” kata Dunne.
Tambahnya, aktiviti itu berlaku mungkin disebabkan manusia bermigrasi dari sekitar kawasan Mediterranean ke Mesir yang mendorong penghasilan susu untuk makanan di Afrika Utara.
“Ketika para imigran baru yang datang ke Afrika memulakan penternakan, maka orang pribumi (orang asli Afrika) dengan cepat melihat manfaat luar biasa daripada aktiviti penternakan. 
“Anda benar-benar melihat evolusi dalam tindakan dalam jangka waktu yang sangat singkat, hanya 1,000 hingga 2,000 tahun,” kata Dunne.
Selain itu, pada tahun 2012 berlaku kejadian salji turun di Bechar, Algeria.
Kejadian selama 24 jam itu membawa salji dan hujan lebat. Malah, salji turut memenuhi jalan dan bangunan di bandar itu.
Apa yang menghairankan, pakar meteorologi sebelum itu meramalkan cuaca baik.
Namun, kejadian itu disambut baik oleh penduduk sekitar kerana salji yang tidak diduga itu dapat membunuh parasit yang terdapat pada pokok kurma sekali gus dapat menghasilkan lebih banyak kurma.
Kejadian sama dikatakan pernah berlaku pada tahun 1979 namun berlaku selama 24 jam sahaja.

2 comments:

  1. Bila Allah inginkan sesuatu itu terjadi, tiada ap yang mustahil..

    ReplyDelete

Designed By