PRU13: BN Menang & Tubuh Kerajaan Persekutuan
BN tubuh Kerajaan Persekutuan
Datuk Seri Najib Tun Razak menerima mandat pertamanya
daripada rakyat untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri keenam
selepas Barisan Nasional (BN) memperoleh majoriti 133 kerusi Parlimen
pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) malam tadi.
Keputusan muktamad PRU-13 bagi kesemua 222 kerusi Parlimen masih belum diumumkan sepenuhnya. Setakat berita ini ditulis pada pukul 2.20 pagi, DAP berjaya
memperoleh 36 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (24) dan Pas 20 kerusi
Parlimen.
Kemenangan pada PRU-13 ini merupakan saat bersejarah bagi Najib dan
negara apabila anak bekas perdana menteri itu berjaya menerajui 13 parti
gabungan BN untuk memenangi PRU-13.
Najib mempertahankan kerusi Parlimen Pekan menewaskan Fariz Musa
daripada PKR dengan majoriti 35,613 undi, manakala timbalannya, Tan Sri
Muhyiddin Yassin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh menewaskan Mohamad
Rozali Jamil daripada Pas dengan majoriti 12,842 undi.
Lebih 80 peratus daripada 13.276 juta pemilih berdaftar keluar mengundi di seluruh negara semalam. Najib, 60, telah berkempen tanpa mengenal penat di seluruh negara
untuk meyakinkan pengundi mengenai transformasi yang dibawa BN.
Beliau juga berusaha gigih bersama Pasukan Transformasi BN untuk
melaksanakan Aku Janji dalam manifesto BN yang mendahulukan rakyat
sekali gus membawa Malaysia ke tahap lebih tinggi di mata dunia.
Kerusi parlimen
Najib dan para pemimpin parti komponen BN berkumpul di Ibu Pejabat BN di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini untuk menunggu keputusan PRU-13 yang bersejarah itu. BN juga berjaya merampas Kedah daripada penguasaan Pas yang dihukum oleh para pengundi yang majoritinya Melayu dan beragama Islam.
BN turut berjaya mengekalkan kerajaan negeri di Pahang, Perlis,
Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Sabah dan Johor. BN juga berjaya
membentuk kerajaan di Perak. Bagaimanapun, Kelantan kekal di tangan pemerintahan Pas manakala DAP
terus menguasai kerajaan negeri Pulau Pinang, begitu juga Selangor masih
terus dikuasai pembangkang.
Keputusan pilihan raya DUN kali ini tidak membabitkan Sarawak yang telah mengadakan Pilihan Raya Negeri pada tahun 2011. Pada sidang akhbarnya, Najib yang bimbang dengan trend pengundian
berbentuk perkauman pada PRU kali ini bagaimanapun mengucapkan terima
kasih kepada seluruh jentera BN berikutan kejayaan membentuk kembali
Kerajaan Persekutuan.
Beliau juga amat berharap semua pihak menerima keputusan berkenaan
dengan hati terbuka kerana ia merupakan amalan demokrasi sebagaimana
diamalkan sebelum ini. “Demi kepentingan negara, semua pihak terutama pembangkang perlu
menerima keputusan dengan hati terbuka dan membenarkan proses demokrasi
berjalan dengan baik. “Saya juga berjanji semua Aku Janji semasa kempen pilihan raya akan dilaksanakan oleh kerajaan BN,” ujarnya.
Beliau berkata, kerajaan BN juga akan menubuhkan sebuah mekanisme khusus untuk memantau pelaksanaan janji berkenaan. Mengulas lanjut mengenai trend pengundian berbentuk perkauman yang
menampakkan pemberontakkan pengundi Cina yang disifatkan Tsunami Cina,
beliau berkata, ia perlu ditangani sebaik mungkin bagi mengelakkan
perbalahan dalam negara.
“Perkara yang kita akan lakukan ialah mengadakan perundingan
kefahaman supaya unsur-unsur perkauman yang tidak sihat dapat
diketepikan dan terus kepada dasar yang berpaksikan kesederhanaan,”
ujarnya.
Comments
Post a Comment