Diskaun tol Aidilfitri 37 peratus

pix_gal0
Kadar potongan, rebat tertinggi pernah ditawarkan

Kuala Selangor: Sempena Aidilfitri, pengguna 24 lebuh raya akan menikmati diskaun dan rebat tol 10 hingga 37.5 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah ditawarkan. 
Pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik (ETC) di lebuh raya kendalian PLUS Berhad, bakal memperoleh rebat 30 peratus sepanjang hari pada 15,16, 22 dan 23 Ogos.

Bagi lebuh raya lain, pengguna diberi diskaun empat hari mulai 18 hingga 21 Ogos ini, termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang memberikan potongan 37.5 peratus dengan mengenakan kadar rata 60 sen bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC.

Kecuali Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB) yang memberikan diskaun untuk tempoh sembilan jam bermula 11 malam 18 Ogos hingga 8 pagi keesokannya, lebuh raya lain memberikan diskaun sepanjang hari tarikh berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata insentif tol itu bagi menyokong usaha kerajaan meringankan beban pengguna, terutama pada musim perayaan.

Beliau juga berkata jumlah pengguna lebuh raya dan jalan persekutuan dijangka meningkat hampir dua kali ganda ketika Aidilfitri berbanding hari biasa.

Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan, jumlah kenderaan pada hari biasa ialah 1.2 juta sehari. Bagaimanapun pada minggu depan dan minggu seterusnya, ia meningkat 500,000 kepada 1.7 juta kenderaan sehari.

Beliau berkata demikian selepas lawatan ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149 Kundang, dekat sini semalam.

Shaziman berkata, diskaun dan rebat tol itu secara tidak langsung memberi kesempatan kepada syarikat konsesi, terutama yang membabitkan jarak jauh menyusun jadual perjalanan pengguna supaya pergerakan lalu lintas lebih lancar.

Dalam pada itu, had laju di semua jalan persekutuan akan diturunkan daripada 90 kilometer(km)/jam kepada 80 km/jam mulai 12 Ogos hingga 26 Ogos sebagai langkah membantu kelancaran trafik dan mengurangkan kejadian tidak diingini.

Selain itu, kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dan jalan persekutuan dibekukan dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas itu, bermula Isnin ini.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos, LDP dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menawarkan tol percuma bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC, manakala 22 lebuh raya memberi diskaun dan rebat 10 hingga 30 peratus.

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat