Bayi 13 bulan maut digilis kereta bapa

Uzair menunjukkan tempat kejadian beliau melanggar anaknya (gambar kecil). - Foto Lim Poh Chin  
Uzair menunjukkan tempat kejadian beliau melanggar anaknya (gambar kecil). - Foto Lim Poh Chin


Padang Terap: Seorang bayi 13 bulan maut akibat kecederaan parah di muka dan kepala selepas digilis kereta yang dipandu bapanya, di Felda Lubok Merbau di sini, kelmarin.

Kejadian berlaku jam 6 petang, ketika mangsa, Auni Iylia Aifa Muhammad Uzair bermain di luar rumah mereka yang terletak bersebelahan stesen minyak milik keluarganya.

Tak sedar

Bapa mangsa, Muhammad Uzair Zul, 22, berkata ketika itu, dia baru selesai mengisi minyak dan terus memandu keretanya tanpa menyedari Auni berada di depan kereta.

“Sebaik selesai mengisi minyak saya terus memandu sebelum terdengar satu bunyi seperti saya terlanggar kerusi.

“Saya menoleh ke belakang untuk memastikan apa yang dilanggar tetapi tidak ada apa-apa. Saya keluar dari kereta dan melihat bahagian bawah dan ternampak tubuh anak saya dengan kesan darah yang banyak.

“Saya melaungkan takbir dan menjerit namanya dan meminta tolong ahli keluarga,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Muhammad Uzair berkata, ibunya, Jamilah Ahmad, 45, yang berada di dalam rumah berlari keluar lalu mendukung anaknya ke Klinik Kesihatan Felda Lubuk Merbau, kira-kira 50 meter dari rumah mereka tetapi mangsa tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, ibu mangsa, Nor Diana Amira Saidin, 20, berkata, anak kedua daripada dua beradik itu seorang yang manja dan sentiasa dikawal jika bermain di luar rumah.

Namun katanya, pada petang kejadian dia tidak menyedari anaknya bermain di luar dan kejadian yang berlaku benar-benar menyedihkan mereka sekeluarga.

“Apa yang berlaku amat memilukan malah malam sebelum kejadian itu, dia sedikit berbeza apabila mengucup lama kedua-dua pipi saya.

“Walaupun masih tidak percaya apa yang berlaku, namun saya menerima takdir ini,” katanya.

Jenazah Auni dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lubuk Merbau di sini, kira-kira jam 3 pagi, semalam.

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat