Revolusi Timur Tengah & Kesannya kepada Masyarakat Dunia


Kesan revolusi Timur Tengah 
  Kesan revolusi Timur Tengah


REVOLUSI kebangkitan rakyat di Timur Tengah yang bermula di Tunisia pada akhir 2010 memberi impak besar kepada rantau itu sehingga kini walaupun telah dua tahun berlalu.

Ia bermula dengan insiden penjual buah-buahan, Mohamed Bouazizi, 26, membakar dirinya sendiri selepas berputus asa dengan keadaan ekonomi di negarapimpinan bekas Presiden Zine el Abidine Ben Ali.


Kejadian itu juga telah menjadi faktor utama mencetuskan kemarahan rakyat yang akhirnya menyaksikan beliau digulingkan dalam tempoh sebulan pada awal tahun 2011.
Kebangkitan pertama rakyat di rantau Arab itu didakwa telah menyebabkan beberapa negara seperti Mesir, Libya, Yaman, Syria dan Bahrain turut terkena tempias revolusi tersebut.

Negara di rantau lain juga menjadikan protes di Timur Tengah sebagai sumber inspirasi untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah ketidakadilan pentadbiran kerajaan akibat kepincangan ekonomi dan sosial.


Demonstrasi jalanan digelar Indignants yang bermula di Puerta del Sol di Madrid, Sepanyol pada 15 Mei 2011 telah merebak ke Eropah hingga ke Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara maju lain termasuk Australia, Hong Kong dan Jepun.


Protes anti-Wall Street juga menjadi medium rakyat negara maju untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan berikutan berlakunya ketidakadilan sosial dan kadar pengangguran tinggi.


Tunjuk perasaan Indignants dan Occupy Wall Street itu dilaporkan telah merebak ke 950 bandar di 82 negara dalam tempoh beberapa bulan.

 
Berakhirnya pemerintahan kuku besi

Selain itu, revolusi kebangkitan rakyat juga menyaksikan seorang demi seorang pemimpin kuku besi berjaya digulingkan.
Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak menjadi mangsa kedua digulingkan dalam tempoh 18 hari selepas protes tercetus di negara tersebut. Insiden itu menyebabkan peralihan kuasa secara sementara di bawah pemerintah tentera sebelum ia diserahkan kepada Presiden Mohammed Mursi pada tahun lalu.

Libya turut terkena tempias gelombang protes tersebut pada Februari 2011. Kumpulan pemberontak dan penentang bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersatu dan menubuhkan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) selepas beliau enggan berundur.

Keadaan itu menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi yang membenarkan tentera Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengawasi ruang udara Libya.
Pada Oktober 2011, Gaddafi telah ditembak mati oleh pemberontak di Sirte.

Situasi berbeza pula di Yaman, di mana bekas Presiden Ali Abdullah Saleh akhirnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian untuk berundur selepas 33 tahun memegang tampuk pemerintahan negara itu pada November 2011.
  Di bawah perjanjian itu, Saleh menyerahkan kuasanya kepada Naib Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi dan berikrar untuk mewujudkan rakan kerjasama dengan pembangkang bagi melaksanakan pelan damai yang dicadangkan Liga Arab dan PBB.

Di Syria pula, keadaan dilaporkan bertambah tegang berikutan keengganan Presiden Bashar al-Assad untuk berundur walaupun digesa banyak pihak.
  Konflik yang berlarutan selama lebih 21 bulan itu dilihat sukar untuk dihentikan kerana pelan damai yang dipersetujui antara Wakil Khas PBB dan Liga Arab gagal dilaksanakan hingga kini.
 
Protes terancang

Kebanyakan golongan pemuda yang menyertai protes terdiri daripada bekas pelajar di negara Barat yang memahami maksud sebenar demokrasi.
 


Berbanding dengan protes terdahulu, kebangkitan rakyat pada tahun 2010 dan 2011 itu telah dirancang dengan teliti kerana mereka menggunakan medium seperti laman sosial Facebook dan Twitter untuk menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat kerana ia dianggap lebih telus. Sebagai contoh, eksekutif muda Google, Wael Ghonim diangkat sebagai pencetus revolusi siber Mesir kerana menjadi perintis gerakan pembaharuan tersebut.
 
Siapakah Bouazizi?

Bouazizi bukanlah individu terkenal tetapi dia hanyalah seorang penjual buah yang bersusah payah menolak troli melalui jalan-jalan di Sidi Bouzid di tengah ibu negara bagi mencari rezeki dengan anggaran pendapatan AS$10 (RM32) sehari untuk menanggung keluarganya.

Insiden yang menjadi simbol kebangkitan rakyat Tunisia itu bermula pada pagi 17 Disember 2010 selepas seorang pegawai majlis perbandaran menahan Bouazizi.


Tindakan majlis perbandaran merampas trolinya telah mencetuskan kemarahan lelaki tersebut kerana dia berasa telah dimalukan selepas gagal untuk berunding dengan mereka.
Kerana terlalu marah, Bouazizi bertindak membeli minyak dan menyiram ke seluruh tubuhnya sebelum dia membakar diri di luar bangunan pentadbiran gabenor. Wira Tunisia itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya pada 4 Januari lalu.

Bouazizi telah menjadi simbol rakyat yang sudah muak dengan penindasan dan ketidakadilan kerajaan.
Keberanian dan semangat Bouazizi sebagai pencetus revolusi di rantau Arab turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dia terpilih dalam kalangan lima penerima Hadiah Sakharov Parlimen Eropah untuk Kebebasan Pemikiran pada November 2011.
 
Protes merebak ke seluruh dunia

Israel


Hampir 500,000 penduduk di Tel Aviv turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengadakan protes ‘Satu juta penunjuk perasaan’ pada Julai 2011.
  Setahun selepas itu, ribuan penduduk Israel mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama di seluruh negara, kelmarin untuk meneruskan protes sosial yang diadakan selama beberapa bulan.

Kumpulan penunjuk perasaan itu turut berarak sambil melaungkan beberapa slogan seperti ‘Jalan terbaik untuk penswastaan adalah revolusi’.
Mereka berterusan menggesa kerajaan mengurangkan kos harga makanan, pendidikan dan pembelian rumah.

Tunjuk perasaan itu dicetuskan oleh golongan pelajar yang sanggup membina khemah di tepi jalan kerana mereka membantah kenaikan kos harga rumah untuk penduduk kelas pertengahan.
Demontrasi tersebut turut memberi kesan terhadap kepimpinan Netanyahu yang kononnya dianggap kebal kerana menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat (AS).
 
China

Medium sosial telah mencetuskan perhimpunan Jasmine yang diinspirasikan daripada Revolusi Jasmine di Tunisia dirancang untuk diadakan pada setiap hari Ahad di 27 bandar di seluruh China.


Demonstrasi itu telah tersebar ke lebih 100 bandar.
Penganjur protes kempen dalam talian tersebut mendakwa perhimpunan itu mendapat sokongan penuh penduduk di negara walaupun dihalang oleh kerajaan. Perhimpunan Jasmine tersebut juga diadakan untuk menuntut hak asasi dan keadilan daripada kerajaan.
 
Amerika Syarikat (AS)

Protes anti-Wall Street yang diadakan oleh penunjuk perasaan Occupy Wall Street di Manhattan pada 17 September 2011 merebak dengan cepat di 1,000 bandar di AS.

Ia tercetus selepas kerajaan mengambil tindakan menyelamatkan bank bermasalah yang berpangkalan di Wall Street.
Tuntutan utama demonstrasi yang turut mendapat sokongan parti sayap kiri dan kesatuan sekerja ini adalah supaya golongan kaya di AS membayar lebih banyak cukai dan syarikat meningkatkan kebajikan korporat.

Protes ini juga memberi tamparan hebat kepada Presiden Barack Obama kerana mereka mendakwa pengaruh korporat telah memburukkan lagi krisis ekonomi di negara itu.

Mereka turut melaungkan slogan membantah ketaksamaan yang semakin meningkat dan ketidakadilan undang-undang di sebalik krisis kewangan global.

Comments

  1. Thanks to you too yati coz sudi baca, walaupun panjang. its a good article

    ReplyDelete
  2. salam raudzah :)

    ada org melihat pergolakan di timur tengah sbg pergolakan setempat...namun ada juga yg melihat itu sbg permulaan kpd pergelokan dunia yg lebih dahsyat di masa akan dtg...mungkin sampai tercetusnya perang dunia ke-3.

    wallahu a'lam

    ReplyDelete
  3. Waalaikumsalam and so true ayie..rasanya kesannya kepada dunia amat besar especially di asia barat..and rasanya tak impossible if leds to the third world war...and janagnlupa apa yang di nyatakan dalam Al-Quran as well!!!

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat