Maut ditetak adik

Kuala Selangor: Seorang wanita ditemui mati dalam keadaan mengerikan apabila tangannya hampir putus manakala kepala, leher dan mata ditetak beberapa kali oleh penyerang, dipercayai adik lelakinya, dalam kejadian amuk di Taman Kaswari, Kampung Bukit Rotan, di sini, petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Mohd Taib Ahmad berkata, kejadian berlaku jam 6.15 petang dan mayat mangsa berusia 52 tahun itu ditemui berlumuran darah oleh penjaga tokong, Chew Bon Hwa, 52, yang datang ke rumah ibadat itu untuk menutup pintu, jam 7 malam.

Sebelum kejadian, mangsa ke tokong itu untuk membawa adiknya berusia 44 tahun yang mengalami masalah mental pulang selepas dimaklumkan tokong akan ditutup.
“Adik mangsa bagaimanapun enggan pulang dan selepas beberapa kali dipujuk, dia dikatakan naik angin dan tiba-tiba mencapai sebilah parang dalam tokong lalu menetak mangsa,” katanya.

Mohd Taib Ahmad berkata, sepasukan anggota polis dikejarkan ke lokasi sebelum mendapati mangsa meninggal dunia.

Katanya, abang suspek berusia 55 tahun turut ke tokong sejurus dimaklumkan mengenai perbuatan adiknya oleh penduduk, namun dia cedera ditetak di tangan ketika cuba memujuk.

ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang ditetak oleh adik lelakinya.

“Akibat panik dan takut dengan perbuatannya, suspek melarikan diri ke dalam ladang kelapa sawit berhampiran,” katanya.

Mohd Taib berkata, tindakan pantas polis bagaimanapun berjaya menahan suspek, jam 10.30 malam ketika dia bersembunyi dalam ladang itu sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor untuk siasatan lanjut.
“Polis menjalankan ujian air kencing terhadapnya dan mendapati dia positif dadah jenis ganja, dan kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk bedah siasat, manakala mangsa yang cedera ringan menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya.

Menurutnya, polis akan menyemak rekod kesihatan bagi memastikan suspek benar-benar mempunyai sejarah pesakit mental atau sebaliknya.


  Source

Comments

  1. Bawah pengaruh dadah rupanya.....huhuuh.
    Inilah bahaya dadah..

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat