PRU13: 8 Kerusi Panas Jadi Tumpuan

8 kawasan Parlimen dikenal pasti kerusi panas



 
PRU13

KUALA LUMPUR -  Kerusi Parlimen Gelang Patah (Johor), Putrajaya (Wilayah Persekutuan), Lembah Pantai (Wilayah Persekutuan) dan Permatang Pauh (Pulau Pinang) adalah antara kerusi panas daripada 222 kawasan Parlimen yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
     
Kerusi Parlimen Gelang Patah yang mempunyai 106,864 pengundi menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
     
Selain Gelang Patah, saingan tiga penjuru juga disaksikan di Permatang Pauh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku penyandang kerusi itu dicabar Dr Mazlan Ismail (BN) dan Dr Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas).


Saingan kerusi Parlimen  
Saingan kerusi Parlimen

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang juga penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai akan ditentang Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin (BN) dan calon Bebas Rusli Baba.

Pada pilihan raya 2008, Anwar menang dengan majoriti 15,671 undi manakala anaknya Nurul Izzah memperoleh majoriti 2,895 undi.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga penyandang kerusi Parlimen Putrajaya selama dua penggal sejak 2004 akan menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa. Pada 2008 beliau memperoleh majoriti 2,734 undi.



Saingan kerusi Dun  
Saingan kerusi Dun

Pertembungan buku dengan ruas antara calon rakan BN Datuk Zulkifli Nordin dan penyandang Khalid Abdul Samad di Parlimen Shah Alam juga bakal menghangatkan PRU13.

Selain itu pertembungan dua rakan baik iaitu Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dan bekas menteri kesihatan yang juga Pengerusi PKR Johor, Datuk Dr Chua Jui Ming di Parlimen Segamat.

Turut mencuri perhatian ialah pertandingan tiga penjuru antara bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din dan Zainudin Yom (Bebas) di Parlimen Arau.
   
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tempoh berkempen selama 15 hari dengan 5 Mei adalah tarikh pengundian manakala tarikh pengundian awal, ditetapkan pada 30 April ini. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat