Misteri Bendera Malaysia
|
PATTANI, Thailand - Kumpulan pemberontak disyaki membakar beberapa
helai bendera Thailand dan menaikkan bendera Malaysia di sini dalam satu
operasi pengeboman terancang yang amat jarang berlaku di kawasan
selatan negara ini semalam.
Menurut polis, alat seperti bom ditemui di sekurang-kurangnya 60
lokasi di Narathiwat dan Pattani, wilayah yang majoritinya terdiri
daripada penganut Islam. Kebanyakan alat itu adalah palsu, tetapi hampir
12 unit daripadanya meletup dan mencederakan enam orang tentera.
Pegawai Operasi Keselamatan Dalaman Selatan, Pramote Prom-in
memberitahu tindakan memasang bendera Malaysia dengan bahan letupan itu
bertujuan menunjukkan penentangan terhadap kerajaan Thailand dan
mencipta ketegangan dengan Malaysia.
Beliau meminta supaya kerajaan bertindak tegas sambil menyatakan
serangan tersebut tidak memberi kesan terhadap hubungan di antara
Bangkok dan Kuala Lumpur.
Masih tidak jelas kenapa bendera Malaysia dinaikkan oleh kumpulan
pemberontak itu. Bendera tersebut dipasang di sepanjang jalan, tiang
elektrik, pokok dan laluan pejalan kaki di wilayah Yala, Pattani,
Narathiwat dan Songkhla.
Para penganalisis menyatakan militan mahukan sebuah negara yang
merdeka, tetapi tidak pernah menunjukkan minat mahu menjadi sebahagian
daripada Malaysia.
Penyelidik kanan Pemantau Hak Asasi Manusia yang berpangkalan di New
York, Sunai Phasuk mengakui bahawa motif pemberontak menaikkan bendera
Malaysia masih misteri.
Kumpulan pemisah dikatakan mula muncul sejak Januari 2004. Sejak itu,
seramai 5,206 terbunuh dan 9,137 lagi cedera dalam banyak siri
serangan. - Agensi
Comments
Post a Comment