Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat



Makna gerakan-gerakan dalam solat telah dibincangkan para ulama sejak dahulu. - Gambar hiasan


SAYA percaya setiap gerakan yang wajib ataupun sunat yang kita lakukan dalam solat seperti rukuk dan sujud mengandungi makna tertentu di sebaliknya. Bolehkah ustaz jelaskan makna-makna gerakan tersebut?

JAWAPAN:

SEGALA puji bagi Allah, selawat dan salam bagi Rasulullah S.A.W, ahli keluarga, sahabat dan tabiin.

Solat adalah satu bentuk komunikasi dua hala antara hamba dengan Tuhannya. Dalam solat, seorang hamba menghadap Allah lalu berbicara kepada-Nya. Pada saat yang sama, Allah S.W.T memperhatikan gerak-gerik hamba itu, mendengarkan kata-katanya dan menjawab permohonannya.

Allah berfirman: (Allah) melihat kamu ketika kamu berdiri (dalam solat) dan perubahan gerak badanmu di antara orang-orang yang sujud. (al-Syuaara: 219)

Daripada Anas bin Malik, bersabda Nabi S.A.W: Sesungguhnya seorang Mukmin, apabila ia berada di dalam solat, ia tengah berbincang (munajat) dengan Tuhannya. Maka, janganlah ia meludah ke hadapan atau ke sebelah kanannya, akan tetapi ke kiri atau ke bawah kakinya. (riwayat Al-Bukhari).

Ibnu Rajab menjelaskan: "Tujuan Nabi S.A.W menyebutkan perkara ini agar seseorang yang tengah solat merasakan kedekatan Allah dengannya. Merasakan Allah selalu melihat dan mendengar. Merasakan bahawa ia tengah berbincang dengan Allah S.W.T, dan Allah mendengarkan semua ucapannya, Allah juga menjawab dan membalas kata-kata tersebut."

Bahasa Badan

Jika solat adalah perbincangan kita dengan Allah, ternyata perbincangan tersebut lebih banyak dilakukan dengan bahasa badan (body language) daripada dengan kata-kata. Sebab rukun fi'li (gerakan) dalam solat lebih banyak daripada rukun qauli (ucapan). 

Daripada 13 rukun solat, hanya lima rukun sahaja yang berbentuk ucapan iaitu takbiratul Ihram, al-Fatihah, Tasyahhud akhir, selawat kepada Nabi S.A.W dan salam penutup. Selain kelima rukun ini, semua bacaan dalam solat hukumnya sunat sahaja. 

Kebanyakan rukun solat berbentuk perbuatan seperti berdiri, rukuk, iktidal, sujud. Dan semua gerakan ini selalu berulang dalam setiap rakaat solat yang kita lakukan.

Hikmah mengapa solat lebih banyak gerakan daripada ucapan antaranya adalah agar ibadah ini boleh dilakukan oleh semua orang termasuk orang yang tidak fasih berbahasa Arab, bahkan yang bisu sekalipun. 

Tambahan pula, komunikasi yang dilakukan dengan seluruh anggota tubuh terbukti lebih berkesan daripada komunikasi yang dilakukan hanya dengan lidah sahaja.

Jadi, soalan yang anda tanyakan ini sungguh munasabah. Kita digalakkan bukan hanya mengetahui makna setiap bacaan yang kita ucapkan dalam solat, tapi juga memahami makna setiap gerakan yang kita lakukan dalam solat.

Memahami kedua-duanya menjadi salah satu cara untuk memperoleh khusyuk di dalam solat. Makna gerakan-gerakan dalam solat ini telah dibincangkan para ulama sejak lama. Saya hanya mampu menyebutkan sedikit daripadanya sahaja pada kesempatan yang sangat terhad ini. 

Imam Al-Syafii pernah ditanya: "Apa makna mengangkat tangan ketika rukuk?" Beliau menjawab: "Sama seperti mengangkat tangan ketika takbiratul ihram, yakni (sebagai tanda) mengagungkan Allah." 

Beliau turut menjelaskan bahawa makna yang sama juga terdapat dalam ibadah mengangkat tangan apabila berlalu di hadapan Hajarul Aswad ketika tawaf, dan apabila berada di atas bukit Safa dan Marwah ketika Sai.

Apabila seseorang tengah berdiri dalam solat, hakikatnya ia tengah melakukan satu aktiviti penghormatan (takzim) kepada Allah. Pada saat itu kita mesti menghadirkan kebesaran Zat yang tengah kita hadapi dalam solat kita itu dengan kepala tertunduk. 

Allah S.W.T berfirman: Dan berdirilah untuk Allah (dalam solat) dengan penuh ketaatan (khusyuk). (al-Baqarah: 238)

Apabila melakukan rukuk, maka ia tengah tunduk merendah kepada Allah S.W.T. Pada saat itu disunatkan mengucap: "Subhana rabiyal azim (Maha Suci Tuhanku yang sangat agung)," sebagai pengiktirafan kita atas keagungan Allah, sekali gus menyedari kehinaan diri di hadapan-Nya.

Apabila sujud, kita meletakkan anggota tubuh kita yang paling tinggi dan mulia (yakni wajah) di tempat yang paling rendah dan hina (tanah tempat kita berpijak). Kita bersedia melakukan itu sambil mengakui ketinggian Allah S.W.T: "Subhana rabiyal a'la (Maha suci tuhanku yang paling tinggi)." 

Sujud menjadi kemuncak ibadah solat sebab ia menampilkan bentuk penghambaan dan ketundukan serendah-rendahnya kepada Allah yang tidak henti-henti mencurahkan nikmat kepada kita. Kita melakukannya dua kali untuk menunjukkan kerendahan maksima di hadapan-Nya.

Setiap kali kita merendahkan diri dengan sujud, semakin dekat diri kita kepada Allah yang Maha Tinggi. Rasulullah S.A.W bersabda: Seorang hamba sangat hampir dengan Tuhannya apabila ia sujud. Maka perbanyakanlah doa. (riwayat Muslim) 

Menurut Imam Al-Qaffal, sujud kedua adalah tanda syukur kita atas ijabah doa yang kita panjatkan di dalam sujud itu. Sebagaimana yang dilakukan oleh seseorang apabila permintaannya dikabulkan oleh raja. 

Demikianlah semoga penjelasan singkat ini bermanfaat untuk menambahkan lagi kualiti ibadah solat kita pada masa-masa yang akan datang. Amin ya rabbal álamin.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add