Hukum & Persoalan Solat Jamak & Qasar
Solat
Soalan :PADA musim cuti sekolah ini, saya dan keluarga akan pergi bercuti ke luar negara. Kami telah merancang beberapa aktiviti yang hendak dilakukan dan beberapa tempat yang bakal dikunjungi. Cuma saya terfikir tentang ibadah solat kami. Saya dengar kita boleh menjamak dan qasar solat kita di tempat percutian. Bolehkah ustaz jelaskan beberapa perkara berkenaan dengan solat jamak qasar ini?
Jawapan
Saya
doakan semoga saudara sekeluarga selamat dalam perjalanan pergi dan pulang.
Saya sungguh gembira melihat keazaman anda untuk menjaga hukum-hakam agama
Islam meskipun di mana sahaja anda berada.
Berbalik
kepada soalan saudara, pertama kali kita mesti tahu makna jamak dan qasar.
Keduanya mempunyai makna yang berbeza di antara satu sama lain. Keduanya tidak
selalu bersama-sama. Kita boleh melakukan jamak tanpa qasar atau qasar tanpa
jamak.
Jamak
secara bahasa ertinya menghimpun. Istilah ini kemudian digunakan untuk
perbuatan menghimpun dua solat fardu dalam satu waktu. Solat-solat yang boleh
dijamak adalah Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Adapun Subuh, ia
tidak boleh dijamak dengan solat yang lain.
Jamak
solat ini boleh dilakukan dengan dua cara. Cara yang pertama adalah
menghimpunkan dua solat pada waktu solat yang lebih awal. Misalnya kita
melaksanakan solat Zuhur dan Asar pada waktu Zuhur, atau Maghrib dan Isyak pada
waktu Maghrib. Cara ini disebut juga dengan jamak takdim.
Dalam
melakukan jamak takdim, kita diwajibkan tertib dan berturutan. Tertib maknanya
kita mesti melakukan solat Zuhur terlebih dahulu sebelum Asar, atau Maghrib
terlebih dahulu sebelum Isyak.
Tidak
sah jika kita melakukan secara terbalik. Adapun berturutan, maka maknanya kita
wajib melakukan kedua solat ini tanpa dipisahkan oleh selangan masa yang cukup
lama. Iaitu, sejurus selesai melaksanakan solat Zuhur misalnya, kita bersegera
bangkit untuk melaksanakan solat Asar.
Cara
yang kedua adalah menghimpun kedua solat itu pada waktu solat yang terkemudian.
Misalnya kita melaksanakan solat Zuhur dan Asar pada waktu Asar, atau Maghrib
dan Isyak pada waktu Isyak. Cara ini disebut juga dengan jamak takhir.
Dalam
melakukan jamak takhir, kita tidak diwajibkan tertib dan berturutan. Jadi,
terpulang kepada kita apakah hendak melakukan solat Zuhur terlebih dahulu
ataukah Asar, melakukan Maghrib terlebih dahulu ataukah Isyak. Keduanya boleh
dilakukan dalam jamak ta'khir dan sah jamak tersebut.
Adapun
qasar, maka ia adalah memendekkan solat yang asalnya empat rakaat menjadi dua
rakaat. Solat-solat itu adalah Zuhur, Asar dan Isyak. Adapun solat yang bukan
empat rakaat seperti Subuh dan Maghrib, maka tidak boleh diqasarkan. Lawan
daripada qasar adalah itmam (sempurna), iaitu melaksanakan solat dengan
bilangan rakaatnya yang asal.
Comments
Post a Comment