Amalan & Adab Yang Di Tuntut Sepanjang Ramadhan
Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan
dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting
adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri
urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
Rasulullah s.a.w bersabda; "Puasa itu bagaikan perisai , maka
apabila seseorang kamu berpuasa, jangan berkata kotor dan berkata kasar. Jika
seseorang mencacinya atau menyerangnya maka hendaklah dia mengatakan , Aku ini
puasa. Sahih Bukhari
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang
dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi
unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk
menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah
apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia
adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan
unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh
badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia.
Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang
memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada
perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya
tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang
berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga.
(Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang
berpuasa atau tidak. Apatah lagi
bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa
itu adalah ‘perisai', sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang
berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh.
Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia
katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);
5. Bersedekah walaupun sedikit.
6. Jangan
membanyakkan tidur pada siang
harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi
menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal,
keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa
yang perlu dicapai;
7. Jauhkan
diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka
dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya
sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri
dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan
yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada
bulan Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut
sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada
bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan
menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan
daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir
kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga
terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian,
kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong
perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang
belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya)
untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi
pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata
berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan
menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan
kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan
dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara
khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;
8. Tidak
menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan
Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan
mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi
melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah
tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang
mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan
akhirat;
9. Membaca zikir pagi dan petang
Allah berfirman: "Dan ucapkan pujian
dengan kemuliaan Tuhanmu sebelum terbitnya matahari dan sebelum
terbenamnya." (Taha:13)
10. Memperbanyakkan doa.
"Tiga doa yang paling mustajab: Doa orang
yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang bermusafir.: (Riwayat
Ar Tarmizi)
"Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya
Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong
takbur daripada beribadah dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam
dalam keadaan hina"( Surah Ghafir Ayat Ke-60)
11. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya,
berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas
air serta melambatkan makan sahur.
Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda
mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan
baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk
waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
12.
Menyediakan makanan berbuka kepada orang
yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda
baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang
berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi
sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu
Khuzaimah)
13. Memenuhi
malamnya dengan amalan sunat seperti solat
terawih, witir dan sebagainya.
Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak
mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan
surau.
Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana
meninggalkan ‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk
dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin
kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang
tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu
adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya. Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan
ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah,
rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang
solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20 rakaat ataupun lapan rakaat.
Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya
sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala
kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)
14. Mencari lailatul qadar.
"Carilah dengan segala daya upaya malam
Lalilatul qadar di malam-malam ganjil dari sepuluhan yang akhir dari bulan
Ramadhan". (Sahih Bukhari)
Comments
Post a Comment