Breaking News

Friday, July 27, 2012

Wanita berambut panjang



BEIJING 27 Julai - Sekumpulan 120 wanita di sebuah kampung di wilayah Fujian, China, mencipta rekod selepas diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai kampung pertama mempunyai penduduk berambut terpanjang di dunia.

Kumpulan wanita etnik minoriti Red Yao dari Kampung Huangluo Yao, mempunyai purata panjang rambut 1.6 meter dengan rambut yang paling panjang diukur adalah lebih dua meter.

Malah apa yang menakjubkan, wanita-wanita itu hanya memotong rambut mereka sekali seumur hidup pada usia 16 tahun, sebelum mereka mula mencari calon suami.

Mengikut tradisi, rambut wanita Red Yao hanya boleh dipamerkan kepada keluarga terdekat dan dalam kehidupan sehari-hari, kaum wanita Red Yao akan memakai skarf untuk melindungi rambut mereka.



Jika lelaki lain ternampak rambut mereka yang panjang, dia dikehendaki berkahwin dengan anak perempuan wanita etnik tersebut dan tinggal bersama di rumah mereka selama tiga tahun.

Namun, amalan berkenaan tidak lagi diamalkan sejak 1987 dan wanita Red Yao kini berbangga mempamerkan keunikan rambut mereka kepada penduduk kampung, sekali gus membuatkan mereka terkenal sebagai kampung berambut panjang.

Kebiasaannya wanita berambut panjang berasa sukar untuk menguruskan rambut, namun bagi wanita Red Yao, mereka dengan mudah menguruskannya dengan gaya tersendiri. Semasa musim panas dan luruh, wanita-wanita terbabit akan membasuh rambut mereka di Sungai Jinjiang.

Penduduk Red Yao percaya, wanita berambut panjang boleh hidup lebih lama, kaya dan memiliki nasib yang baik. - AGENSI

No comments:

Post a Comment

Designed By