Hukum Solat Sunat Selepas Witir

Solat Witir

Islam menganjurkan kita melaksanakan solat witir untuk menambahkan ketakwaan kepada Allah Taala. Ia juga adalah solat malam yang penting dilakukan umat Islam sepanjang masa.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah Taala menyediakan kamu dengan solat lebih baik bagi kamu dari unta merah dan ia untuk kamu (masanya) dari solat Isyak hingga terbit fajar iaitu witir, witir (disebut dua kali).” (Riwayat al-Baihaqi)

Solat witir hukumnya sunat muakkad bagi kebanyakan ulama, bahkan ia amat digalakkan syarak seperti hadis daripada Abi al-Darda’ bermaksud: “Kekasihku (iaitu Rasulullah SAW) telah berwasiat kepadaku tiga perkara antaranya ialah supaya aku mengerjakan (solat) witir sebelum tidur.”

Sabda Nabi SAW: “Solat witir itu hak bagi seorang Muslim. Maka sesiapa suka solat witir lima rakaat maka lakukanlah, sesiapa suka melakukan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang suka melakukan satu rakaat maka lakukanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Solat witir dilakukan sekurang-kurangnya satu rakaat mengikut kebanyakan ulama. Adapun sebanyak-banyak ialah 11 rakaat dan dilakukan secara witir (ganjil) iaitu tiga, lima, tujuh, sembilan dan 11.

Bolehkah solat sunat selepas solat witir sedangkan solat witir sunat dilakukan di akhir malam? Imam Nawawi menjawab, “Dibolehkan solat sunat selepas melakukan sembahyang witir dan tidak perlu lagi menunaikan solat witir buat kali kedua.”

Ia bersandarkan hadis Nabi SAW: “Tiada dua solat witir pada satu malam.” (Riwayat al-Tirmizi)

Diriwayatkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya mengenai orang yang meninggalkan solat witir, beliau menjawab, “Itulah orang yang fasik yang tidak diterima penyaksiannya.”

Walaupun bagi Imam Ahmad solat witir hanyalah sunat, tetapi ini menunjukkan besarnya kelebihan solat witir hingga sesetengah ulama tidak menerima syahadah atau penyaksian sekiranya seseorang tidak melakukan solat witir.

Melihat kepada gesaan dan galakan Allah SWT dan Rasul-Nya, menggambarkan kepentingan solat witir terhadap kehidupan seorang Muslim hingga ulama mazhab Hanafi menganggapnya sebagai wajib.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat