I Syawal
Setelah sebulan berpuasa, InsyaALLAH kita semua akan menyambut aidil fitri yang mulia pada esok hari...semoga ibadah kita di terima ALLAH...Dan di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya untuk semua dan maaf sekiranya ada posting yang secara tak sengaja mengecilkan hati mana-mana pihak...
KEDATANGAN 1 Syawal seringkali dinantikan dengan pelbagai persepsi. Di Malaysia, keghairahan menyambutnya telah bermula pada hari pertama Ramadan lagi. Malah dari hari ke sehari, umat Islam seolah-oleh tidak sabar-sabar menunggu kehadiran Hari Raya Aidilfitri, lebih-lebih lagi di hujung-hujung bulan Ramadan.
Warga Islam dari semua golongan di Malaysia biasanya akan sibuk
dengan persiapan raya. Golongan dewasa sibuk memastikan sambutan raya
kali ini adalah yang paling meriah berbanding tahun sebelumnya. Golongan
remaja pula sibuk memastikan hari raya nanti terisi dengan
aktiviti-aktiviti bersama teman-teman. Manakala, anak-anak kecil asyik
menagih pakaian dan kasut baru serta memikirkan agenda mengutip duit
raya terbanyak.
Daripada senario yang berlaku pada setiap kali hari raya Aidilfitri
di Malaysia, ia menunjukkan bahawa masyarakat Islam kita begitu
meraikannya dalam suasana yang penuh kegembiraan.
Namun, apa yang menjadi persoalannya adakah kegembiraan meraikan hari
kemenangan itu disambut sebagaimana yang dituntut oleh syariat Islam.
Mantan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hasan Din Al-Hafiz
menjelaskan, pada zaman Rasulullah SAW di Mekah, pada masa itu mungkin
umat Islam belum ada hari raya kerana belum ada lagi kewajipan berpuasa
atau mengeluarkan zakat.
"Mengikut riwayat pada tahun yang kedua selepas hijrah Nabi ke
Madinah iaitu pada bulan Syaaban, baru turun ayat yang diwajibkan puasa
sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman
diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang
sebelum kamu agar kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
"Jadi apabila diwajibkan berpuasa itu ia adalah tempoh sebulan
sebelum Ramadan dan kebetulan pada masa itu, orang Islam masih terikut
dengan cara orang Yahudi di Madinah berhari raya. Pada masa itu,
termasuk di Mekah sendiri telah ada sambutan hari raya di kalangan
masyarakat Yahudi iaitu yang dikenali dengan nama Nairus dan Mahrajan.
"Jadi cara mereka menyambutnya lebih menjurus kepada kemaksiatan
seperti, minum arak, berjudi, berzina atau lebih tepat seperti sebuah
pesta maksiat.
"Kemudian, apabila Rasulullah berhijrah ke Madinah, perayaan sebegini
masih lagi diraikan. Ini menambah kesedihan Nabi SAW kerana umat Islam
turut sama meraikannya," kata Abu Hasan yang ditemui di rumahnya, petang
Ahad lalu.
Lantas tambah Abu Hasan, apabila sahaja disyariatkan berpuasa maka
dalam bulan puasa itulah Nabi bertanya kepada umat Islam ketika itu:
"Hendakkah kamu kalau aku tukarkan dua hari raya kamu itu dengan dua
hari raya yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri?"
Maka dari situ, barulah bermulanya syariat dalam Islam tentang hari
raya. Malah cara perayaan hari raya umat Islam itu jauh berbeza dengan
sambutan Yahudi.
Nabi tegaskan dengan kata-katanya: "Hiasilah raya kamu dengan bertakbir, bertasbih dan bertahmid sebagai tanda kesyukuran."
Dalam konteks ini, ia jelas menunjukkan seolah-olah hari raya ini
dikaitkan dengan soal ibadah iaitu mengadap Allah SWT, mengingat Allah
SWT dan mengagungkan Allah SWT.
"Sebab itulah diutamakan mendirikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
Konsep hari raya dalam Islam jelas menunjukkan bahawa ia adalah
perayaan keagamaan. Ini bermakna jika ia disambut atas landasan agama,
maka hari raya yang diraikan itu adalah satu ibadat. Umat Islam turut
digalakkan untuk menziarah pusara, melawat sanak-saudara dan saling
bermohon kemaafan.
"Sayangnya apa yang berlaku hari ini, menerusi pemerhatian saya,
orang kita terlalu berlebihan terutamanya dalam soal makan. Biarpun ia
tidak salah tetapi janganlah hingga sampai kepada riak dan pembaziran,"
tegas Abu Hasan.
Kebimbangan beliau disuarakan dengan melihatkan cara hari raya
diraikan hari ini iaitu terlalu ke arah hiburan semata-mata dan ini
terang-terangan telah menyalahi ruh Syawal itu sendiri.
"Dibimbangi akan kembali seperti bagaimana orang Yahudi menyambutnya
iaitu menerusi dua perayaan mereka iaitu Nairus dan Mahrajan. Ia
seolah-olahnya pada hari kemenangan tersebut kita seperti berpesta.
Contohnya paling mudah apa yang dihidangkan oleh stesen televisyen,
radio dan panggung wayang.
"Sepatutnya, saya mencadangkan pada 1 Syawal itu seharusnya isikan
dengan slot-slot rancangan atau program dalam konteks agama, kalau boleh
apa sahaja bentuk penerbitannya biarlah berunsur ibadat.
"Malah pada zaman baginda Rasulullah SAW juga Aidilfitri hanya
disambut sehari sahaja tidak seperti di negara kita ini yang
menyambutnya sebulan dengan alasan telah berpuasa sebulan," ujarnya
itulah kesilapan masyarakat Melayu Islam di sini.
Hari kemenangan
Menurut Abu Hasan lagi, Aidilfitri disambut sebagai suatu kemenangan
bagi orang yang dapat mengerjakan ibadat puasa Ramadan dengan sempurna.
Kemenangan itu bukan saja menang kerana berjaya mengawal nafsu makan
dan minum selama sebulan pada siang hari sepanjang Ramadan, malah
kejayaan menghalang diri daripada melakukan perkara dilarang, di mana
jika dilakukan akan terbatal puasanya.
Oleh kerana itu, Allah menganugerahkan satu hari untuk kita sama-sama meraikan kejayaan daripada kemenangan itu.
Mengulas definisi sebenar kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan
berpuasa di bulan Ramadan dalam konteks ini, terang Abu Hasan bagi orang
yang berpuasa, dia layak menerima dua kegembiraan iaitu, ketika
menyambut hari raya dan kedua ketika balik mengadap tuhan.
"Kegembiraan ini khas kepada mereka yang berpuasa kerana telah
berpuasa penuh sebulan, kejayaan melawan nafsu makan dan pancaindera
yang lain dan ketiga, melunakkan syaitan-syaitan.
"Jumhur ulama berkata bergembira menurut hadis di atas ini iaitu farhatun. Dari segi bahasa ialah farhah dan perkataan ini berbeza dengan hiburan atau dalam bahasa Arabnya, lahwun.
"Jadi menerusi hadis ini jelas perbezaan ketara antara perkataan farhah dan lahwun. Oleh sebab itu, pada hari raya kita bukannya ke arah hiburan tetapi lebih tepat ialah bergembira," kata Abu Hasan.
Jelas beliau lagi, Allah SWT tidak mahu umat Islam pada saat itu
bersedih, maka itu kita digalakkan bersedekah terutamanya pada sepanjang
Ramadan. Ini supaya semua insan tidak kira, kaya atau miskin akan dapat
meraikan Syawal mengikut kemampuan masing-masing.
Pesan Abu Hasan, umat Islam perlu memahami, sekali gus dapat membezakan antara dua istilah ini dengan sebenar-benarnya.
"Harapan saya agar semua pihak dapatlah menghormati satu hari ini
sahaja iaitu pada 1 Syawal dengan benar-benar memeriahkannya secara
Islamik," katanya.
Comments
Post a Comment