Breaking News

Friday, August 3, 2012

Mercun dibalut ayat al-Quran

Seorang penduduk menunjukkan cebisan helaian al-Quran yang dijadikan pembalut mercun di Aceh. - AGENSI 
 
PANTON Labu, Aceh - Beberapa penduduk di sini terkejut besar apabila menemui cebisan pembalut mercun diperbuat daripada kertas yang tertulis ayat-ayat suci al-Quran.

Penemuan yang turut dilaporkan berlaku di Matang Kuli dan Nibong itu, sekali gus mendatangkan kemarahan penduduk yang menyifatkan perbuatan menggunakan kertas yang mengandungi ayat kitab suci tersebut sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam.

Kes itu dilaporkan berlaku di Panton Labu apabila seorang peniaga, Nurdin, 34, menemui kertas mercun yang dipenuhi tulisan Arab pada minggu lalu ketika sedang berniaga di kedainya.

"Saya terjumpa cebisan mercun di depan kedai saya dan setelah diteliti, saya dapati tulisan Arab tersebut merupakan ayat al-Quran.

"Saya menemui beberapa cebisan lain dan bertindak melaporkan perkara ini kepada Majlis Permesyuaratan Ulama (MPU) Tanah Jambo Aye untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua MPU, Tgk Ramli Syam berkata, cebisan yang ditemui oleh Nurdin itu disahkan merupakan helaian daripada al-Quran.

"Perbuatan ini merupakan satu penghinaan terhadap umat Islam dan disengajakan. Mereka yang bertanggungjawab dalam hal ini perlu ditangkap dengan segera," katanya. - AGENSI

No comments:

Post a Comment

Designed By