Lumpur ajaib
Kawah lumpur bebuak bersaiz sehingga
mencecah 2 meter lebar boleh memuatkan tiga empat orang dalam satu masa
di Kampung Meritam, Limbang, Sarawak.
PERMUKAAN tanahnya sentiasa lecak tidak mengira
musim, sama ada tengkujuh mahupun kemarau. Lebih luar biasa, ia boleh
membentuk busut secara perlahan-lahan sebelum meletus dan mengeluarkan
bunyi seakan-akan cecair likat yang sedang membuak-buak.
Kejadian sama berulang selang beberapa minit kemudian. Setelah
beberapa hari, ia akhirnya menghasilkan kawah besar dipenuhi lumpur
kehitaman yang lembik dan hangat.
Fenomena menakjubkan itu menyebabkan sebuah kawasan lapang di pinggir
Kampung Meritam, Limbang, Sarawak yang dulunya lengang bertukar meriah
dengan kehadiran orang ramai.
Ketua Kampung Meritam, Mahmud Gampal memberitahu, sifatnya yang
sering meletus dan menghasilkan bunyi pelik menyebabkan penduduk
tempatan menggelar lumpur ajaib berkenaan sebagai 'lumpur bebuak'.
"Bukan satu, malah ratusan kawah seumpamanya muncul di kawasan berkenaan.
"Saiznya pula berbeza-beza. Ada yang hanya sebesar penumbuk. Ada juga
bersaiz cukup besar sehingga mencecah dua meter lebar," katanya ketika
ditemui baru-baru ini.
Apabila semakin ramai keluarga berpindah di kawasan berhampiran
lumpur bebuak, populariti lumpur itu meningkat lebih-lebih lagi apabila
ada yang mendakwa ia mampu menyembuhkan pelbagai penyakit kulit.
"Penduduk memberitahu penyakit gatal-gatal dan kudis berkurangan yang
dihidapi beransur pulih apabila disapu dengan lumpur bebuak, malah ada
juga yang mendakwa penyakit asma mereka sembuh selepas minum air yang
ditapis daripada lumpur itu.
"Khabar tersebut tersebar dengan cepat menyebabkan orang ramai
termasuk pelancong Brunei dan Sabah berpusu-pusu datang semata-mata mahu
mandi lumpur dan mengubati penyakit masing-masing," ujar Mahmud.
Populariti lumpur bebuak menyebabkan Majlis Daerah Limbang (MDL)
memutuskan untuk membina beberapa kemudahan asas seperti tandas, bilik
mandi awam serta jambatan kayu untuk digunakan oleh pengunjung.
Malah kawasan itu juga diiktiraf sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka di Limbang oleh Kerajaan Negeri Sarawak.
Berpeluang merasai sendiri berendam di dalam kawah lumpur bebuak
bersama beberapa pengunjung lain, penulis mengakui ia merupakan
pengalaman menyeronokkan dan amat berbaloi untuk dicuba.
Abaikan seketika rupa lumpur yang pekat likat dengan bau yang kurang
menyenangkan. Sebaik sahaja anda 'berkubang' di dalam kawahnya, perasaan
geli hilang serta-merta.
Malah, ada yang tidak mahu keluar dari kawah itu yang boleh
diibaratkan seperti rendaman terapi untuk menyegarkan badan serta minda.
Apa yang menakjubkan, kawah yang mampu memuatkan empat atau lima
orang lelaki dewasa dalam satu-satu masa itu sebenarnya tidak berdasar.
Bagaimanapun usah risau kerana sifatnya seakan-akan laut mati. Apa
sahaja objek yang terjatuh ke dalam kawah berkenaan akan timbul
serta-merta termasuk penulis yang mempunyai berat badan mencecah 70
kilogram!
Ditanya sejak bila lumpur bebuak terhasil, Mahmud memberitahu tiada
sesiapa tahu asal-usul kejadian tersebut yang mempunyai persamaan dengan
tanah lumpur di kawasan kaki gunung berapi. "Namun yang peliknya, Limbang bukanlah kawasan yang mempunyai gunung berapi.
"Mengikut cerita yang saya dengar daripada orang lama, ia memang ada
di situ sebelum Limbang diteroka, iaitu lebih 100 tahun lalu," katanya.
Comments
Post a Comment