Skip to main content

Amalan Bulan Muharam Bertentangan Sunnah ?



 

SESUNGGUHNYA agama Islam lengkap dan sempurna. Seperti firman Allah SWT: “Pada hari ini, aku sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku cukupkan nikmat-Ku kepada kamu dan Aku redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah al-Maidah: 3). 

Maka hal ini menjadi dalil kepada kita bahawa segala ajaran dan amalan dalam Islam sudah lengkap disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.
 Segala perkara berkaitan ibadat dan tatacara sesuatu ibadah itu diajarkan oleh Nabi kepada sahabat baginda dan menjadi kewajipan orang selepas mereka mengikutinya. Jadi, dalam 12 bulan Islam terdapat amal ibadat yang dikhususkan agar dapat kaum Muslimin beramal ibadat dan merebutkan pahala di sisi Allah.

Seperti bulan Ramadan difardukan umat Islam berpuasa, bulan Zulhijjah adalah bulan dilaksanakan rukun haji, Syawal bulan hari raya dan dalam masa yang sama terdapat bulan Islam ini ada harinya ditentukan oleh Nabi amal ibadat yang boleh dilakukan kita semua supaya dapat mendekatkan diri dengan Allah.

Sekarang bulan Muharam iaitu bulan yang sering disambut oleh kita kerana bulan tahun baru mengikut kalendar Islam. Dapat dilihat antara kebiasaan dilakukan oleh kaum Muslimin ialah membaca doa akhir dan awal tahun pada waktu Asar dan Maghrib, berpuasa pada 1 Muharam dan membuat bubur Asyura di atas sangkaan ibadat.

Namun, adakah perkara ini menepati sunah Nabi? Apakah amalan ini dianjurkan oleh Nabi, sahabat baginda atau imam mazhab yang empat? Jika diperhalusi secara ilmiah dan dalil doa awal tahun dan akhir tahun ini didapati amalan berkenaan tiada sandaran daripada Nabi melalui perkataan atau perbuatan baginda melainkan ia diambil daripada hadis maudu (palsu). Kita mengetahui bahawa hadis palsu bukan hujah dan berdosa besar disampaikan jika mengetahui hakikat kepalsuan itu.

 

Kata Syeikh Abu Bakar Zaid r.h: “Menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa. Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk (disyariatkan).” (Tashih Ad-Dua: 44) Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?” Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai, cuma yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu mengenai kata-kata begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas sahih sama ada daripada al-Quran mahupun sunah.

Tiada masalah dan harus bagi seseorang untuk mengarang doanya sendiri tetapi jangan beriktiqad doa itu lebih baik daripada doa yang datang daripada al-Quran dan sunah serta jangan ditetapkan waktu bacaan dan tatacaranya.

Berhubung dengan puasa 1 Muharam pula, apa yang dapat dinyatakan tiada petunjuk daripada perbuatan Baginda melakukan puasa pada 1 Muharam ini bahkan tiada langsung walaupun satu hadis daripada Nabi menganjurkan kepada sahabat agar berpuasa pada setiap 1 Muharam.

Apa yang pasti dan jelas daripada hadis Nabi mengenai berpuasa pada bulan Muharam ini adalah pada 9 dan 10 Muharam. Puasa pada dua hari ini sememang dijelaskan oleh Nabi, dilakukan sahabat dan imam empat mazhab. Puasa pada hari ini dijanjikan fadilat yang besar oleh Nabi.

 

Puasa pada 9 Muharam lebih dikenali dengan istilah puasa Tasua manakala puasa pada 10 Muharam seperti kita semua mengetahuinya iaitu Asyura. Tasua merujuk pada hari kesembilan manakala Asyura merujuk pada hari ke-10. Hal ini dapat dibuktikan daripada hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas iaitu Nabi datang ke Madinah dan baginda mendapati orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam). 

Menurut mereka, ini hari baik di saat Allah membebaskan Nabi Musa daripada Firaun. Maka sabda Nabi: “Kita lebih berhak terhadap Nabi Musa daripada mereka maka berpuasalah.” (Riwayat Imam al-Bukhari,) Asal sejarahnya kita hanya disarankan oleh Nabi berpuasa pada hari ke-10, tetapi apabila disampaikan kepada baginda bahawa kaum Yahudi sangat mengagungkan hari Asyura ini lalu Nabi berhasrat pada tahun berikut berpuasa pada hari kesembilan dan menyarankan kepada sahabatnya agar berbeza dengan kaum Yahudi. 

Seperti diceritakan oleh Ibnu Abbas: “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan sahabatnya untuk turut berpuasa, sahabat berkata, “wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari diagungkan oleh Yahudi dan Nasara,” selepas mendengar berita itu Rasulullah terus mengucapkan “jika benar apa yang kalian katakan, pada tahun selepasnya dengan izin Allah, kita puasa sekali pada hari (9 Muharam).” Ibnu Abbas berkata, “tetapi belum sempat sampai tahun depan, Baginda wafat terlebih dahulu.” (Hadis Riwayat Muslim) Dalam hadis lain Nabi berkata yang bermaksud: “Berpuasalah kalian pada hari Asyura dan berselisihlah dengan orang Yahudi di dalamnya dan berpuasalah sehari sebelumnya atau sehari sesudahnya.” (Riwayat Ahmad).

Antara fadilat yang sahih daripada hadis nabi, baginda mengisyaratkan mengenai kelebihan puasa Asyura sebagaimana katanya yang bermaksud: “Adapun puasa di hari Asyura, aku meminta kepada Allah semoga pelakunya dapat dihapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis Riwayat Muslim). Dan janganlah ketika kita memasak bubur Asyura merasakan ia adalah satu sunah dan amalan mendapat pahala.

Kisah Nabi Nuh ketika memasakkan bubur ini kepada pengikut dan binatang yang menaiki bahtera, sebenarnya tidak dapat dipastikan kebenarannya.

Justeru, biarlah sedikit kita melaksanakan sunah yang sahih daripada melakukan amalan yang banyak tapi menyelisihi sunah.

Penulis berkelulusan Syariah Fiqh dan Usul UM adalah Ketua biro Ilmuan Malaysia (iLMU)

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat