Breaking News

Monday, November 12, 2012

Suami hanyut ketika bersihkan sungai


Suami hanyut ketika bersihkan sungai
Khairiah menunjukkan tempat arwah suaminya dipercayai terjatuh sebelum ditemui hanyut kira-kira 500 meter dari tempat kejadian
 
 
PUCHONG - “Masih terngiang-ngiang lagi arwah suami kata dia hendak bersihkan sampah tersangkut di sungai." Demikian  kata Khairiah Mohd Hashim, 61, isteri kepada warga emas yang ditemui hanyut ketika membersihkan sampah-sarap di Sungai Bengang, Kampung Tengah di sini, 5 November lalu.

Khairiah yang ditemui ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara, Teresa Kok, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, ke rumahnya semalam berkata, sebelum kejadian dia ada melarang arwah suami, Ma Yusof Jumri, 62, berbuat demikian kerana bimbang paras air sungai yang tinggi.

Namun katanya, dia tidak menyangka, arwah suami yang rajin membersihkan sungai sedalam lima meter itu pergi juga ke lokasi terletak kurang 20 meter dari jarak depan rumahnya sebelum disedari dia hilang.

Katanya, kehilangan arwah disedari apabila mendapati suaminya tidak pulang ke rumah selepas waktu Magrib dan melihat kereta serta semua barang peribadi termasuk kain pelikat yang sepatutnya dipakai ke masjid masih berada di rumah.

Jelasnya, dalam keadaan berdebar itu, dia terus bergegas ke masjid memaklumkan mengenai kehilangan suaminya sebelum kira-kira 100 penduduk kampung melakukan gerakan mencari di tepi sungai.

Kata Khairiah, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pihak polis turut datang ke lokasi untuk melakukan gerakan mencari suaminya.

Jelasnya, hanya selepas lapan jam hilang, barulah mayat suaminya ditemui oleh penduduk kampung yang menyelam berdekatan kunci air kira-kira 500 meter dari tempat arwah dipercayai terjatuh.

“Dia ditemui selepas seorang penduduk melaungkan azan tiga kali dari tebing sungai. Meski pun sedih, saya reda dengan apa yang berlaku, arwah memang rajin, sebelum kejadian dia bersihkan longkang di sekeliling rumah kerana tidak suka melihat kekotoran.

5 comments:

Designed By