Wanita Paling "Gah" Sepanjang 2012

SEPANJANG 2012, dunia menyaksikan beberapa wanita muncul dan memberi impak besar hingga meninggalkan kenangan sukar dilupakan selain nama mereka kekal terpahat dalam sejarah. 


Antara nama yang paling gah mendapat perhatian bukan saja oleh lensa kamera, malah menjadi sebutan jutaan orang sepanjang 2012 ialah Duchess of Cambridge, Kate Middleton, 30, yang berkahwin dengan Putera William sejak tahun lalu. 

Kehadirannya sentiasa mendapat perhatian walau di mana saja dan setiap perkara yang dilakukannya diberi perhatian oleh paparazi hinggakan percutian peribadi bersama suami turut terpapar di dada akhbar tabloid dan majalah di seluruh dunia.

 

Seorang lagi wanita yang memberi impak kepada politik dunia ialah Park Geun-hye yang mencatat sejarah tersendiri sebagai wanita pertama yang berjaya memegang tampuk kepimpinan di peringkat tertinggi Korea Selatan.

Menjanjikan angin perubahan, beliau berikrar untuk mendekati Korea Utara dengan menyalurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan serta menjalinkan kerjasama lebih erat apabila beliau mula memegang jawatan Presiden pada 25 Februari depan. 


 
Di belakang setiap lelaki yang hebat, berdirinya wanita yang mengagumkan. Begitu jugalah halnya dengan Michelle Obama yang sentiasa memberi sokongan dan kasih sayang tidak berbelah-bahagi kepada suaminya sehingga Barack Obama berjaya mencapai cita-cita meneruskan pemerintahannya sebagai Presiden Amerika Syarikat untuk satu penggal lagi.

Michelle, 48, terus memberi sokongan padu kepada suaminya hingga membawa kemenangan kepada Obama pada pilihan raya November lalu, sekali gus menghancurkan harapan pesaingnya.


Michelle bukan calang-calang wanita kerana beliau melanjutkan pengajian di Universiti Princeton dan Sekolah Undang-Undang Harvard, sebelum mengambil keputusan pulang ke Chicago dan bekerja di sebuah firma perundangan, di mana beliau bertemu Obama buat pertama kali. 

 
 

Berbeza dengan tiga wanita di atas yang memberi inspirasi, nama Paula Broadwell tiba-tiba menjadi terkenal selepas dikaitkan dengan skandal terbesar di negara itu kerana menjalinkan hubungan dengan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), David Petraeus.
 

Wanita seksi berambut coklat berusia 40 tahun itu didapati menjalin hubungan dengan Petraeus yang pernah mengetuai Tentera Bersekutu di Afghanistan, ketika beliau menulis biografi Petraeus ‘All In’ pada 2006. 
 
 

Tidak ketinggalan, wanita yang memberi kesan sepanjang 2012 ialah Marissa Mayer yang dilantik ke jawatan tertinggi sebagai Ketua Eksekutif Yahoo! Julai lalu dalam usaha syarikat Internet itu menaikkan kembali imej dan meningkatkan kembali pertumbuhan kewangannya.

Pengumuman pelantikan mengejut itu menjadikan Marissa sebagai Ketua Eksekutif Yahoo yang kelima dalam tempoh lima tahun. Kemerosotan saham Yahoo! memaksa syarikat itu mencari pemimpin yang berkarisma, berwawasan dan berkemahiran untuk kembali mengubah nasib mereka.


Majalah Fortune sebelum ini menyenaraikan Marissa sebagai antara 50 wanita paling berkuasa di dunia selain mencipta sejarah tersendiri menjadi wanita termuda yang menyertai senarai berpengaruh itu.

 


Seorang lagi tokoh wanita ialah Eksekutif Kanan Facebook Inc, Sheryl Sandberg yang menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat rangkaian sosial itu pada 26 Jun lalu.

Sheryl, 42, yang sebelum ini berkhidmat dengan Google, dilantik menjadi Ketua Pegawai Operasi Facebook pada 2008. Selain menjadi wanita pertama dalam Lembaga Pengarah syarikat, beliau juga eksekutif pertama selain daripada pengasas yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg dalam syarikat.


Sheryl bertanggungjawab membangunkan perniagaan pengiklanan Facebook. Beliau juga menjadi perantara dengan masyarakat, memberi sidang media dan hadir mesyuarat penting, manakala Zuckerberg lebih menumpukan kepada pembangunan produk di belakang tabir.




Terbaru, mahasiswa tahun kedua Universiti Boston, Olivia Culpo mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mengembalikan kembali mahkota Ratu Universe 2012 kepada Amerika Syarikat (AS) selepas hampir satu dekad gelaran itu dilepaskan sejak 1997.
 

Gadis manis berusia 20 tahun itu berjaya menawan hati juri menerusi kecekapan jawapan diberikannya di samping sikap mesranya sepanjang pertandingan.

 


Antara yang menyentuh perasaan sepanjang 2012 pula ialah keazaman seorang pelajar perempuan Afghanistan, Malala Yousufzai, 15, untuk berjaya dalam bidang pelajaran dan kelantangannya bersuara sehingga menjadi mangsa puak militan yang tidak berpuas hati dengan kritikan dilemparkan Malala.
 

Akibat beberapa kritikannya itu, Malala ditembak di kepala selepas anggota militan menyerbu van sekolah yang membawa Malala pada Oktober lalu.
 

Dua bulan berlalu selepas cubaan membunuhnya, Malala masih menjalani rawatan intensif di Birmingham, Britain. Sebelum ini, gadis itu berada dalam keadaan koma, tetapi kini sudah mula berjalan, menulis dan membaca.
 

Dia bakal menjalani beberapa lagi siri pembedahan, namun mengagumkan kerana Malala tidak mengalami sebarang kecederaan otak serius atau saraf biarpun ditembak dari jarak dekat.

Comments

  1. pergh...memang semuanya tu nama2 besar dan gah sekali...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kan Boni Kacak..they deserve the recognition..looking forward to have more Asean people there...

      Delete

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat