Budak lelaki maut dihempap TV
ALOR SETAR – Sebuah keluarga tidak menyangka keseronokan selepas
pulang daripada makan malam berakhir tragedi apabila anak tunggal
mereka maut akibat dihempap sebuah televisyen bersaiz 29 inci di
Kampung Masjid Lama, Telok Chengai di sini kelmarin.
Dalam kejadian pukul 10 malam itu, Muhammad Luqhman Hakim Lazzuan, 2,
mati sebaik tiba di sebuah hospital swasta di sini kerana mengalami
kecederaan parah di kepala dan dada.
Bapa mangsa, Lazzuan Ishak, 37, berkata, semasa kejadian dia sedang
mandi, isterinya, Waida Kasim, 27, bersolat Isyak manakala mangsa
menonton televisyen sambil bermain-main berhampiran rak televisyen di
ruang tamu rumah sejurus pulang daripada makan.
Ketinggian rak tersebut kira-kira satu meter.
“Sebelum mandi saya menemani Luqhman sementara menunggu isteri solat
namun disebabkan berasa panas saya pergi mandi dengan meninggalkan anak
saya diperhatikan oleh neneknya,” kata Lazzuan ketika ditemui di sini
semalam.
Lazzuan yang bekerja sebagai pemandu bas berkata, ketika sedang mandi
dia mendengar bunyi dentuman kuat menyebabkan dia keluar bilik air.
“Saya terkejut apabila melihat televisyen berusia lebih 10 tahun
bersama rak tempat letak televisyen telah rebah dengan Luqhman berada
di bawah televisyen.
“Ketika itu juga saya lihat darah banyak keluar dari belakang
kepalanya menyebabkan saya segera menghantarnya ke sebuah hospital
swasta di sini,” ceritanya sedih.
Ketika tiba di hospital, Luqhman masih bernafas namun dia disahkan
meninggal dunia ketika diperiksa oleh doktor di wad kecemasan. Pemandu bas itu berkata, dia dan nenek mangsa tidak mengetahui bagaimana rak televisyen itu boleh jatuh.
Mayat Luqhman dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.
Sebelum ini, Lazzuan berkata, dia sering menegur Luqhman agar tidak
bermain berhampiran rak televisyen kerana bimbang kejadian ini berlaku.
“Setiap kali saya nampak Luqhman bermain di rak televisyen saya akan
panggil dan beritahu dia jangan bermain di situ namun tidak menyangka
kejadian sebegini terjadi juga,” katanya.
Sementara itu, bapa saudara mangsa, Ariff Abu Bakar, 33, berkata, dia
tidak menyangka aktiviti memancing yang dilakukan bersama anak buahnya
pada waktu petang sebelum kejadian merupakan detik-detik terakhir
bersamanya.
“Ketika memancing Luqhman kelihatan sangat manja berbanding hari-hari sebelum ini,” katanya.
Sedihnya... Semoga tabah menghadapi ujian.
ReplyDeleteMalang tidak terjangka.
yup malang tak berbaukan BM..
ReplyDelete