Doa Yang Mustajab
NABI SAW telah mengajar umat Baginda agar sentiasa menjaga adab-adab
dalam berdoa. Ini adalah kerana doa merupakan sebuah permohonan dan
permintaan yang dilakukan kepada Allah Yang Maha Esa.
Mana mungkin Allah SWT menerima sesuatu permintaan yang dibuat tanpa
menggunakan bahasa yang terbaik, merendah diri dengan perasaan kehambaan
dan pengharapan yang tinggi kehadrat-Nya.
Bahasa doa yang paling terbaik ialah dengan menggunakan bahasa yang
ditunjukkan dalam al-Quran dan hadis. Jika kita amati, doa-doa yang
dikemukakan oleh al-Quran dan hadis amat ringkas tetapi padat. Ia tidak
berjela-jela dan meleret-leret sehingga terkeluar daripada maksudnya
yang sebenar.
Doa-doa daripada para Rasul dan Nabi-Nabi yang dirakamkan dalam
al-Quran amat fokus dan tepat dengan maksudnya, di samping menunjukkan
sifat kehambaan yang begitu unggul yang dimiliki oleh mereka.
Di samping perlu menjaga adab-adab dalam berdoa, kita juga perlu
mengetahui waktu paling mustajab doa. Mudah-mudahan dengan kita amalkan
doa pada waktu-waktu tersebut, Allah SWT akan makbulkan semua permintaan
dan permohonan kita.
Kita perlu memahami bahawa terdapat waktu-waktu yang dimuliakan Allah
SWT berbanding waktu-waktu yang lain. Sebagaimana bulan Ramadan lebih
mulia daripada bulan-bulan lain dan hari Jumaat adalah hari paling mulia
berbanding hari-hari lain. Ini bukannya bermaksud hari-hari lain tidak
mulia, tetapi ia menunjukkan keutamaan dan fadilat yang lebih berbanding
yang lain
.
Antara waktu-waktu yang dimustajabkan doa ialah;
Akhir satu pertiga malam: Akhir waktu sepertiga malam adalah
waktu yang paling terbaik untuk seorang hamba bermunajat kepada Allah
SWT. Pada detik dan saat ini, biasanya suasana lebih tenang dan damai,
memudahkan sang hamba untuk memberikan fokus dan perhatian kepada
pengakuannya dan taubatnya kepada Allah SWT.
Allah SWT juga suka untuk memakbulkan doa orang-orang yang bangun di
tengah malam kerana tentunya mereka terpaksa mengorbankan masa tidurnya
semata-mata kerana Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah ra, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Allah
SWT akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang
terakhir, seraya berfirman: Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan
menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku
maka Aku akan mengampuninya. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Tatkala Berbuka Puasa Bagi Orang Yang Berpuasa: Waktu ini
terpilih kerana orang yang berpuasa telah berjaya mengharungi lebih
kurang 12 jam menahan nafsu semata-mata kerana Allah SWT.
Oleh itu, waktu berbuka puasa ialah waktu yang amat mustajab kerana
ia membuktikan sifat kehambaan seseorang yang telah meninggalkan
keinginannya kerana Allah SWT.
Maka, ketika meraikan kejayaan tersebut ketika berbuka puasa, Allah
SWT akan mendengar segala permintaannya dan akan dipertimbangkan untuk
dimakbulkan.
Daripada Abdullah bin 'Amr bin 'Ash ra bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa terdapat ketika saat berbuka doa yang tidak ditolak. (riwayat Ibnu Majah)
Ketika selesai menunaikan solat fardu: Ketika seseorang itu
menunaikan solat, dia sebenarnya sedang bermunajat, memohon ampun dan
berdoa kepada Allah SWT. Solat fardu adalah bukti dan manifestasi
kehambaan seseorang itu kepada Allah SWT.
Maka itu, selepas menunaikan solat adalah detik yang tidak sepatutnya
dilepaskan oleh setiap Mukmin untuk berdoa kepada Allah SWT
.
Daripada Abu Umamah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya
tentang doa yang paling didengari oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW
menjawab: "Di pertengahan malam yang akhir dan setiap selesai solat
fardu." (sunan At-Tirmidzi)
Hari Jumaat: Hari Jumaat adalah sayyidul ayyam, iaitu
penghulu segala hari. Terdapat banyak peristiwa penting yang telah dan
akan berlaku pada hari Jumaat.
Pada hari ini juga terdapat satu detik yang amat berharga. Pada detik
itu, Allah SWT akan memakbulkan doa dan permintaan hamba-Nya. Namun,
detik itu dirahsiakan dari pengetahuan manusia.
Daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya
pada hari Jumaat terdapat satu saat yang mana tiadalah seorang hamba
Muslim solat dan memohon sesuatu kebaikan kepada Allah, melainkan akan
diberikan padanya, beliau berisyarat dengan tangannya akan sedikitnya
waktu tersebut. (riwayat al-Bukhari)
Antara azan dan iqamah: Azan dan iqamah adalah panggilan
untuk mendirikan solat. Pada waktu ini umat Islam akan meninggalkan
urusan sehariannya dan akan menumpukan kepada solatnya.
Daripada Anas bin Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Doa tidak
akan ditolak di antara azan dan iqamah." (riwayat Abu Daud, Tirmidzi
dan Baihaqi)
Ketika sujud: Ketika sedang sujud, seorang hamba akan
meletakkan kepala dan wajahnya di tampat yang paling rendah sekali. Ini
adalah merupakan satu bentuk pengakuan bahawa dirinya adalah hamba yang
sangat lemah, miskin dan hina. Sifat merendahkan diri ini sangat penting
untuk merasakan kebesaran dan keagungan Allah SWT.
Daripada Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ketika waktu sujud, maka bersungguh-sungguhlah dalam berdoa kerana pada detik itu sangat tepat untuk dikabulkan. (riwayat Muslim)
Sebenarnya, terdapat beberapa lagi waktu yang amat dimustajabkan doa
seperti malam Lailatulqadar, hari Arafah dan sebagainya. Namun, yang
paling penting sekali dalam melakukan doa ialah rasa keikhlasan dalam
diri dan sentiasa bersangka baik kepada Allah SWT.
Info yang amat berguna...thx
ReplyDeleteThanks BM coz zudi baca...
Deletetq share this dear !
ReplyDeleteYou are most welcome Dear!!!
Deletetq atas perkongsian ini..
ReplyDeleteThanks to you too Mama Rey coz sudi baca!!!
Delete