Breaking News

Tuesday, January 8, 2013

Kerana Miskin, 4 beranak tinggal dalam kebun getah


4 beranak tinggal dalam kebun  
Hazman dan tiga anaknya tinggal di pondok ini yang dibina atas tanah milik ibunya.

 


BERA - Kesempitan hidup memaksa seorang bapa menjadikan sebuah pondok dalam kebun getah, di sini, sebagai tempat tinggal tiga anaknya yang masih kecil.

Hazman Misman, 35, terpaksa membawa tiga anaknya iaitu Nurul Natasha Amani, 7, Nurul Alisya Qaisara, 3, dan Muhammad Mikail Nur Iman, 20 bulan, tinggal
bersamanya setelah berhadapan krisis keluarga.

“Nasib baik ibu benarkan saya tinggal di kebun getah ini. Dari sinilah saya dapat pendapatan untuk menyara kehidupan anak-anak.

“Saya tahu apa yang disediakan untuk anak-anak tidak selesa, tetapi inilah yang terbaik buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia pernah bekerja di Pelabuhan Klang, Selangor sebelum berpindah dan menetap di rumah mentuanya di Paya Pulai selama hampir dua tahun.

4 beranak tinggal dalam kebun  
Anak-anak Hazman yang masih kecil memerlukan kehidupan lebih selesa.
 

Akibat beberapa masalah keluarga, dia terpaksa keluar dari rumah mentuanya bersama anak-anaknya dan berpisah dengan isterinya dan kini, sudah beberapa bulan menetap di pondok itu.

Tiada bekalan air, elektrik
 
Tinjauan Sinar Harian bersama Adun Guai, Norol Azali Sulaiman semasa Program Walkabout di Kampung Guai, mendapati Hazman sekeluarga hidup dalam serba kekurangan tanpa sebarang kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.

Menurut Hazman, dia sering berulang alik ke Kampung Lebak Seberang untuk mendapatkan bekalan air bersih sebagai bekalan minuman, memasak dan mandi.


“Walaupun kami tinggal di sini, tapi saya mesti dapatkan air bersih demi kesihatan keluarga. Dalam keadaan begini, saya harus memastikan anak-anak sihat.

“Begitu juga dengan pendidikan anak-anak. Saya tetap menghantar anak sulung saya ke sekolah supaya tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Ada masanya, Hazman terpaksa meninggalkan dua anaknya yang masih tidur bersendirian di pondok itu kerana menghantar anak sulungnya ke Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu.

Sebaliknya, jika mereka sudah bangun seawal jam 6 pagi, dia terpaksa membawa kesemua anaknya ke sekolah dengan hanya menunggang motosikal.

4 beranak tinggal dalam kebun  
Norol Azali menghulurkan biskut kepada dua anak Hazman selepas menyerahkan bantuan peribadi semasa mengunjungi keluarga terbabit di Kampung Guai.
“Setakat ini, pendapatan saya lebih kurang RM400 hingga RM500 sebulan kalau menoreh semua 110 batang pokok getah di kebun ibu ini.

“Dengan duit itulah saya menyara anak-anak supaya mereka dapat pendidikan secukupnya. Saya harap kehidupan kami bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.

Bantu cari penyelesaian
 
Sementara itu, Norol Azali menasihatkan Hazman berbincang dengan ahli keluarga yang lain supaya masalahnya boleh diselesaikan dengan cara baik.

“Persekitaran dan keadaan sekarang tidak sesuai dengan anak-anak Hazman lebih-lebih lagi mengenai keselamatan mereka.

“Kita akan cuba bantu keluarga ini menerusi agensi berkaitan kerana apa yang penting anak-anak ini mendapat kehidupan lebih baik,” katanya.


6 comments:

  1. Kesian.. Sesusah2 kita, ada lagi orang lain yang lebih susah dari kita.. T_T

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu mieza..kat dalam dunia ni ramai yang tak bernasib baik sebenarnya..Syukur Alhamdulillah dengan rezeki ALLAH

      Delete
  2. kesiannya...merajuk sampai macam tu sekali ke?pasti ada jalan penyelesaiannya...

    ReplyDelete
    Replies
    1. In Shaa ALLAH..semoga di permudahkan untuk mereka..

      Delete
  3. Sekurang-kurangnya dia ada rasa tanggungjawab nak menyara anaknya...walaupun hanya dipondok buruk!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Betul tu OKje..Asekurang-kurangnya dia masih sedar akan tanggungjawab dia..walaupun di pondok buruk..

      Delete

Designed By