Misi Rasulullah SAW, Nabi Akhir Zaman



maulidur Rasul yang disambut setiap tahun bukan keraian semata-mata tetapi penghayatan sirah Rasulullah itu lebih utama. - Gambar hiasan 



Esok, kita akan meraikan satu peristiwa penting dalam sejarah dunia dan umat Islam. Peristiwa itu adalah kelahiran Muhammad bin Abdullah yang terpilih menjadi nabi dan rasul Allah terakhir kepada seluruh manusia.

Di tengah-tengah kegembiraan kita dengan kelahiran baginda, tersimpan hakikat besar yang patut kita renungi bersama. Pengutusan Rasulullah SAW adalah salah satu daripada tanda-tanda kiamat. Kehadiran baginda di muka bumi menandakan dunia telah hampir kepada kehancuran.

Allah SWT berfirman: Maka tidaklah yang mereka nanti-nantikan melainkan kiamat yang akan datang dengan tiba-tiba. Sungguh telah terjadi tanda-tandanya. (Muhammad: 18)

Apabila menafsirkan ayat ini, Al-Hafiz Ibnu Kathir menulis: "Pengutusan Nabi SAW adalah antara tanda-tanda kiamat. Sebab baginda adalah penutup para rasul. Allah menyempurnakan agama ini dan menegakkan hujah kepada seluruh alam dengannya."

Usia umat manusia

Pelbagai hadis Nabi SAW menyebutkan dekatnya pengutusan Baginda dengan kiamat. Perselisihan masa yang memisahkan antara keduanya ibarat jari telunjuk dengan jari tengah.

Baginda SAW bersabda: Aku diutus dan hari kiamat seperti jari ini dan ini. Baginda mendekatkan jari telunjuk dengan jari tengahnya. Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa baki umur umat manusia setelah kedatangan beliau hanya seperti antara solat Asar dan Maghrib sahaja. Baginda bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya perumpamaan umur kamu bersama umur bangsa-bangsa sebelum kamu adalah seperti antara solat Asar dan terbenam matahari. (riwayat al-Bukhari)

Berkata Ibnu Kathir dalam Al-Nihayah: "Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa usia dunia yang terbaki hanya sedikit sahaja. Akan tetapi tiada yang mengetahui masanya yang terbaki selain Allah."

Hakikat ini bukan ditujukan agar melahirkan kepanikan. Akan tetapi, ia sebagai satu peringatan agar kita bermuhasabah dan segera mempersiapkan diri untuk akhirat. Apa-apa yang hendak dibawa ke akhirat, maka persiapkanlah dari sekarang. Dan apa-apa yang tidak ingin dibawa ke akhirat, maka tinggalkanlah dari sekarang.

Misi penting

Salah satu ajaran terpenting Rasulullah SAW adalah seruan untuk meninggalkan berhala yang menajisi kesucian minda manusia. Baginda mengajak umat akhir zaman untuk memerdekakan fikiran daripada belenggu berhala, dan hanya menyembah satu-satunya tuhan yang hakiki: Allah SWT.

Berhala adalah simbol tuhan palsu yang diciptakan Iblis untuk menyesatkan manusia. Tuhan palsu ini mengambil bentuk yang bermacam-macam sesuai dengan tingkat intelektual manusia.

Berhala pernah berbentuk batu seperti Lata dan Uzza. Ia juga pernah berbentuk penguasa yang kuat seperti Firaun dan Namruz. Namun pada zaman ini, berhala seringkali mengambil bentuk wang ringgit.

Kuasa duit

Kebanyakan manusia menyembah duit dalam sedar mahupun tidak sedar. Ia menjadi motivasi dan penggerak semua aktiviti. Mereka belajar untuk duit. Mereka bekerja untuk duit. Mereka makan dan minum agar kuat bekerja mendapatkan lebih banyak duit.

Kuasa duit mampu membuat seseorang tertawa ataupun menangis. Ia mampu memutuskan atau menjalin ikatan kekeluargaan dan persahabatan. Kerana duit, sebahagian orang bahkan rela melepaskan iman dan maruah dirinya. Sungguh itu sesuatu yang merugikan bagi orang yang menjadi hamba duit.

Nabi SAW pernah bersabda: Celakalah hamba Dinar, hamba Dirham, hamba pakaian. Jika diberi, bergembira. Jika tidak diberi, mereka kecewa. (riwayat al-Bukhari)

Umat Muhammad

Sebagai umat Muhammad SAW, kita mesti menjauhkan gaya hidup yang meletakkan duit sebagai penentu segalanya. Kita bukan hamba duit, kita hamba Allah SWT. Kita perlu duit hanya kerana ia satu jalan untuk lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menyumbang kepada agama-Nya.

Itu sebabnya Rasulullah SAW memuji harta yang banyak apabila berada di tangan yang tepat. Baginda Nabi SAW bersabda kepada 'Amr bin Al-'As: Wahai 'Amr, betapa bagusnya harta yang baik bagi laki-laki yang soleh. (Diriwayatkan Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad)

Semoga musim maulid Nabi tahun ini memberikan keinsafan kepada kita tentang hakikat diri dan tugasan besar yang mesti dilakukan di dunia. Selamat meraikan maulid Nab1. 

Selawat & Salam Ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW.


Comments

  1. ❤ Assalamualaikum, tuan owner , saya nk mintak izin tumpang promote sikit ya.
    Wahai wanita, teringinkah kulit yang mulus dan gebu? Bersih dari jeragat dan kulti bercahaya? Jika ingin lawati lah blog saya! Sempena harga promosi masih berlangsung, cepat2 dapatkannya! Segala pertanyaan akan dilayan dengan mesra :)http://qistinaharisa.blogspot.com/

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat