Zalim: Kanak-kanak Palestin didera


Askar Israel menahan seorang kanak-kanak lelaki Palestin yang membaling batu ke arah tentera Israel di Tebing Barat. - AGENSI 



RAMALLAH 14 Feb. - Satu kajian Pertubuhan bagi Perlindungan Kanak-Kanak Antarabangsa (DCI) mendapati Israel melakukan penganiayaan terhadap kanak-kanak Palestin yang ditahan di penjara di negara itu di bawah sistem mahkamah tentera rejim Zionis itu.

Kajian DCI ke atas lebih 300 kanak-kanak Palestin yang pernah ditahan di penjara Israel, menunjukkan pihak berkuasa rejim Zionis Israel melakukan pelbagai penderaan termasuk mengugut untuk merogol tahanan kanak-kanak.

Menurut DCI, sejak 11 tahun lalu, kira-kira 7,500 kanak-kanak Palestin, sesetengahnya berusia 12 tahun, pernah ditahan, disoal siasat dan dipenjarakan mengikut undang-undang mahkamah tentera Israel.

Jelas pertubuhan itu, kebanyakan kanak-kanak tersebut ditahan di rumah mereka antara waktu tengah malam hingga pukul 5 pagi.

Peguam yang mewakili DCI, Gerard Horton berkata, kanak-kanak Palestin yang ditahan akan ditutup mata mereka dengan kain dan dipaksa meniarap menghadap lantai atau meniarap atas lantai kenderaan tentera.

Katanya, seorang daripada mangsa yang hanya dikenali sebagai Mohammad S, berusia 16 tahun dari bandar Tulkarem di utara Tebing Barat mengakui dia ditahan ketika sedang tidur pada pukul 2.30 pagi dan dibawa keluar dari rumahnya oleh tentera Israel dengan matanya ditutup dan dipaksa meniarap selama sejam.

Kemudian, kanak-kanak tersebut dibawa ke pusat siasatan di Nablus pada pukul 11 pagi untuk disoal siasat dan hanya dibenarkan minum air serta menggunakan tandas.

"Mohammad kemudiannya dibawa ke penjara Al Jalameh berdekatan Haifa dalam keadaan ditutup mata dan tangannya diikat. "Dia ditempatkan secara berseorangan di Sel 36 dan terpaksa tidur di lantai kerana tiada selimut atau tilam disediakan dalam bilik tahanan berkenaan. "Dia menghabiskan masa selama 17 hari dalam sel berkenaan dan terpaksa menjalani sesi soal siasat selama tiga jam setiap hari dengan tangannya diikat pada kerusi," jelas Horton.
Menurut Horton, terdapat juga laporan yang menyatakan tentera Israel meletakkan makanan anjing di atas kepala tahanan kanak-kanak sebelum menyuruh seekor anjing makan makanan tersebut. Jelasnya, sepanjang sesi soal siasat, kebanyakan kanak-kanak yang ditahan mengadu dihina, ditampar dan disepak.
Malah katanya, beberapa kes kecil turut melaporkan tentang ugutan pegawai penyiasat Israel mengancam untuk merogol tahanan kanak-kanak Palestin.

"Menurut siasatan kami, Israel didapati melanggar hak asasi manusia kerana mengamalkan sistem menahan kanak-kanak Palestin secara berseorangan untuk tempoh tertentu dan melakukan penderaan emosi serta fizikal," katanya. - AGENSI





 Source 

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat