Breaking News

Tuesday, March 5, 2013

5 lima batalion dikerah ke Lahad Datu


Anggota polis berkawal di pos kawalan di hadapan Kolej Integrasi Ilmu berhampiran Kampung Tanduo, lokasi pasukan keselamatan melancarkan serangan hari ini. - Foto Bernama

 
KUALA LUMPUR - Pasukan keselamatan mempunyai kepakaran untuk menumpaskan saki baki penceroboh bersenjata selepas serangan udara dan darat dilancarkan pagi ini untuk mengakhiri insiden pencerobohan yang berlarutan selama 21 hari di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari Lahad Datu, Sabah, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya walaupun kawasan yang diceroboh mempunyai bentuk muka bumi yang mencabar dan diibarat 'lubuk permainan' penceroboh, namun kepakaran serta taktik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) cukup membanggakan.

Oleh itu, katanya, Malaysia tidak memerlukan sebarang campur tangan asing dalam menangani insiden pencerobohan di Sabah kerana ia mempunyai pasukan keselamatan yang kuat.

Pada 4 petang, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar memberitahu pemberita bahawa saki baki musuh dipercayai masih bersembunyi di Kampung Tanduo, berhampiran Felda Sahabat 16, kira-kira 130km dari Lahad Datu.   

"Setakat ini keadaan tenang malah tiada tembak-menembak sebagai serangan balas berlaku dan kita harap dengan keadaan ini, penceroboh dapat ditumpaskan namun kita perlu sentiasa berjaga-jaga untuk sebarang kemungkinan," kata Ahmad Zahid menerusi perbualan telefon bersama Bernama TV di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pasukan keselamatan telah bersiap siaga di beberapa kawasan tertentu yang berkemungkinan terancam berikutan taktik 'psikologi songsang' yang digunakan penceroboh.

"Kita sentiasa mematuhi Konvensyen Geneva dan kita menggunakan etika peperangan yang mana pihak musuh dilayan dengan penuh berperikemanusiaan," katanya.

Ahmad Zahid berkata, lima batalion tentera telah dikerah di beberapa kawasan seperti Tawau dan Sandakan, dan akan terus berada di sana sehingga berpuas hati dengan operasi pembersihan penceroboh.


KRONOLOGI PENCEROBOHAN KUMPULAN BERSENJATA DI LAHAD DATU
 

   12 Feb - Sekumpulan lelaki berpakaian ala tentera dan dipercayai bersenjata
yang menaiki bot pancung mendarat di pesisiran pantai Lahad Datu.
   
    14 Feb - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis mengenal pasti
kumpulan rakyat Filipina yang mendarat di pesisir pantai Lahad Datu, Sabah
sebagai pewaris berketurunan 'Raja Sulu' dari selatan Filipina.
       
    14 Feb - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan
Malaysia akan melakukan yang terbaik termasuk melalui perundingan bagi
menangani isu pencerobohan itu sebelum mengusir mereka keluar dari kawasan
berkenaan.
    
    16 Feb - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
mengesahkan kumpulan terbabit bukan kumpulan militan atau pengganas sebaliknya
penyokong kuat 'Kesultanan Sulu' dan menegaskan situasi di Kampung Tanduo adalah
terkawal.
        
    18 Feb - Hishammuddin berkata kerajaan Malaysia dan Filipina sentiasa
bekerja rapat dalam menyelesaikan konflik ini dan memberitahu ia akan dilakukan
secara diplomasi tanpa pertumpahan darah.
   
    24 Feb - Kerajaan Filipina menghantar sebuah kapal dalam misi kemanusiaan
untuk membawa pulang kumpulan 180 anggota termasuk 30 pengawal bersenjata yang
bertahan di Lahad Datu, Sabah sejak 12 Feb lepas.
   
    26 Feb - Tempoh pengusiran mereka tamat namun rundingan masih dijalankan
terhadap kumpulan penceroboh itu.
   
    28 Feb - Kerajaan Malaysia digesa mengadakan rundingan secara terus dengan
Sultan Jamalul Kiram III di Manila untuk menamatkan konflik perebutan kawasan di
Lahad Datu, Sabah yang berlanjutan selama lebih tiga minggu.
   
    1 Mac - Dua anggota polis, ASP Zulkifli Mamat dan Sjn Sabarudin Daud
terkorban manakala 12 anggota kumpulan penceroboh terbunuh dalam pertempuran
antara kumpulan itu dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.
   
    2 Mac - Enam anggota polis terkorban dalam serangan hendap di perkampungan
air Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna. Kejadian pada pukul 8 malam itu
menyebabkan enam anggota kumpulan penceroboh terbunuh.
   
    3 Mac - Mayat enam anggota polis dikeluarkan dari kawasan perkampungan air
itu dan polis turut mengeluarkan 19 anggota polis dengan selamat dari kampung
itu.
   
    4 Mac - Setiausaha Rendah Luar Filipina Jose Brillantes dan Duta Besar
Filipina ke Malaysia J. Eduardo Malaya dilapor bertemu Menteri Pertahanan Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein untuk mencari resolusi damai.
       
    4 Mac - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menegaskan keadaan
keselamatan di Kunak, Sandakan dan Semporna di Sabah adalah terkawal.
   
    4 Mac - Polis mengeluarkan senarai nama enam pegawai dan anggota yang
terkorban dalam serangan hendap di Semporna, Sabah.
   
    5 Mac (7 pagi) - Pasukan keselamatan melancarkan serangan menggunakan jet
pejuang F18 dan Hawk ke atas penceroboh kumpulan bersenjata di Kampung Tanduo,
Lahad Datu, Sabah diikuti tindakan susulan dan penggeledahan oleh pasukan
tentera dan polis di kawasan kampung itu.
   
    5 Mac (8 pagi) - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan
mesti mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menjaga maruah dan kedaulatan
negara sebagaimana yang dituntut rakyat memandangkan usaha kerajaan mengelakkan
pertumpahan darah di Lahad Datu tidak berjaya.
   
    5 Mac (11 pagi) - Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dalam sidang media
bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menyifatkan Ops
Daulat itu mencapai objektif yang ditetapkan.
   
    5 Mac (1.30 tengah hari) - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun
Hussein dalam sidang akhbar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi mengesahkan tiada kematian dan kecederaan di pihak pasukan keselamatan.
   
    5 Mac (4 petang) - Ketua Polis Negara mengadakan sidang akhbar mengatakan
operasi susulan dan penggeledahan masih diteruskan kerana polis percaya masih
ada musuh di kawasan itu.
   
    5 Mac - Sehingga pukul 7 petang, polis belum mengesahkan jumlah kematian,
kecederaan atau tangkapan di pihak anggota kumpulan penceroboh bersenjata itu.
 

No comments:

Post a Comment

Designed By