Breaking News

Tuesday, March 5, 2013

Ops Lahad datu: Ketua pengganas cabut lari


LAHAD DATU - Ketika pihak berkuasa melancarkan serangan besar-besaran untuk menggempur kubu pengganas Sultan Sulu di Kampung Tanduo di sini semalam, ada maklumat mengatakan ketua kumpulan pengganas dan beberapa orang kanannya telah melarikan diri dari kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.


Adik Sultan Jamalul Kiram III, Raja Muda Azzumuddie, 60-an, yang mengetuai operasi pencerobohan ke Sabah pada 12 Februari lalu dipercayai sedang bersembunyi di kawasan Kampung Tanjung Batu di sini yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari Kampung Tanduo.


Kampung Tanduo merupakan kawasan pertama diceroboh Azzumuddie bersama 180 pengikutnya yang lengkap bersenjata. Mereka menyusup masuk dengan menaiki bot pancung dari kepulauan Sulu ke Sabah.

Ada maklumat mengatakan Azzumuddie telah terselamat ketika serangan menggunakan pesawat pejuang, kereta perisai dan askar berjalan kaki yang dilancarkan pihak berkuasa tepat pukul 7 pagi semalam.


Teori bagaimana mereka melarikan diri terbahagi kepada tiga. Pertama, pengganas telah membuat laluan bawah tanah dan laluan tikus ekoran mereka telah berkubu di kawasan kampung tersebut sejak lebih tiga minggu lalu.


Kedua, keluasan kawasan tersebut menyebabkan pihak berkuasa menghadapi sedikit kekangan untuk mengawal keseluruhan tempat. Jadi mereka boleh melarikan diri ke kawasan yang tidak dikawal untuk bersembunyi.


Teori terakhir pula ialah pengganas mengambil kesempatan keluar dari kampung ketika pihak berkuasa mengeluarkan arahan kepada penduduk supaya mengosongkan rumah. Mungkin mereka ikut jalan berlainan dengan penduduk untuk mengelakkan daripada dicekup.





2 comments:

  1. harap perkara ini akan selesai dgn segera..

    ReplyDelete
  2. Komen pada teori No 2: Malaysia menempatkan 7/8 battalion tentera disana, tidak termasuk 6 battalion PGA. Luas kawasan dikepung cuma 4 kilometer persegi. Sebelah laut dikawal oleh TLDM,APMM,Marin. Mustahil dia boleh bolos kemana mana.

    ReplyDelete

Designed By