Breaking News

Tuesday, April 30, 2013

Dakwat kekal boleh padam ? Apa Kata SPR

SPR jelaskan punca dakwat kekal boleh padam


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) percaya dakwaan bahawa dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal pada Selasa boleh dipadam timbul ekoran kegagalan sebahagian daripada petugasnya untuk mematuhi cara penggunaan dakwat berkenaan.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria berkata, badan itu percaya dakwat kekal itu boleh dicuci kerana botolnya tidak digoncang terlebih dulu sebelum dicalit kepada pengundi.

Sehubungan itu, satu arahan telah dikeluarkan kepada semua petugas SPR untuk mematuhi cara penggunaan dakwat kekal sebagai mana yang dikehendaki dan dinyatakan pada kotak dan botol dakwat itu.

"SPR akan meneruskan penggunaan dakwat kekal pada 5 Mei 2013 ini  selaras dengan kehendak undang-undang yang sedang berkuat kuasa," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Tambah beliau, SPR juga akan mengadakan satu demonstrasi kepada media pada Khamis ini untuk menunjukkan bahawa dakwat kekal itu jika dicalitkan pada jari pengundi mengikut cara penggunaannya, dakwat tersebut akan lebih kekal di jari pengundi.

Kenyataan SPR itu adalah reaksi kepada pendedahan beberapa pengundi awal yang tersebar melalui laman sosial bahawa dakwat kekal yang dicalit pada jari mereka mudah hilang dengan basuhan air atau sabun.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua juga mendakwa menerima aduan sama daripada beberapa anggota polis dan kemudian membuat satu laporan polis di Balai Polis Taman Koperasi Polis, Batu Caves.

Seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar juga membuat satu laporan berasingan di Sentul selepas melihat sendiri dakwat berkenaan dipadamkan daripada jari seorang anggota tentera.

Menurut Kamaruddin, susulan pendedahan dan aduan polis tersebut, SPR pada Selasa telah membuat beberapa ujian menggunakan dakwat kekal terhadap pegawai-pegawainya yang telah mengundi secara pos.

Ujian itu dibuat dengan menggunakan dakwat kekal daripada botol yang tidak digoncang serta botol yang telah digoncang mengikut cara-cara penggunaan yang dinyatakan pada kotak dan botol dakwat berkenaan.

"Hasilnya, SPR mendapati jari mereka yang telah dicalit dengan dakwat kekal yang botolnya telah digoncang lebih kekal dakwat itu di jari mereka dibandingkan dengan jari mereka yang dicalit menggunakan dakwat kekal yang botolnya tidak digoncang," katanya.

Kamaruddin turut menjelaskan ujian SPR sebelum ini juga mendapati dakwat itu boleh kekal bagi tempoh lima hingga tujuh hari.

Pada masa sama, SPR menegaskan bahawa semua pengundi awal yang telah selesai mengundi pada Selasa tidak boleh mengundi sekali lagi pada Ahad ini kerana nama mereka tidak wujud dalam daftar pemilih pilihan raya bagi pengundi biasa yang akan mengundi pada hari itu.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof dalam pada itu menyerahkan kepada polis untuk menyiasat dakwaan berkenaan kerana ada laporan polis telah dibuat mengenainya.

Penggunaan dakwat kekal diperkenalkan pertama kali dalam pilihan raya umum ini sebagai antara usaha pembaharuan untuk meningkatkan ketelusan sistem pengundian.

2 comments:

  1. Kemudahan kelas satu, mentaliti tahap ketiga

    Tak berubah :)

    ReplyDelete

Designed By