Makan Cacing Untuk Sembuh Penyakit


HANYA dengan menariknya keluar, cacing ini boleh dimakan begitu sahaja.


Cacing tambelo, sejenis cacing yang hidup dalam kayu bakau kering merupakan salah satu sumber protein kegemaran masyarakat suku Kamoro, Papua, Indonesia. Tambelo dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit seperti malaria, batuk, selesema, sakit pinggang dan boleh menaikkan selera makan.

Kawasan Papua, terutamanya di bahagian selatan, banyak ditumbuhi pohon bakau sekali gus menjadikan kawasan tersebut kaya dengan sumber alam termasuk cacing tambelo.
Masyarakat Kamoro biasanya menebang batang kayu bakau dan merendamnya selama tiga bulan di dalam air paya. Setelah tiga bulan, barulah mereka mengutip atau mengambil tambelo hidup yang kadangkala boleh hidup dalam kayu bakau kering.

Tambelo, menurut pemahaman masyarakat Suku Kamoro, ialah ulat yang mirip cacing dan hidup pada kayu bakau yang sudah kering. Cacing itu juga hidup pada tempat yang berlumpur di lingkungan pohon bakau. Ia mempunyai bentuk yang panjang menyerupai cacing, berwarna putih.

Cacing ini biasanya dimakan secara mentah setelah diambil daripada batang kayu bakau yang menjadi tempat tinggalnya. Walaupun rasanya sedikit masin, ia dipercayai mengandungi zat yang sangat tinggi. Bagi mereka yang baru pertama kali merasai keenakan cacing ini pasti berasa geli, tetapi lama-kelamaan akan mula menyukainya.

Bagi masyarakat Kamoro, tambelo jenis Bactronophorus thoracites dan Bankia orcutti merupakan sumber protein. Kedua-dua jenis cacing itu biasanya dihidangkan sebagai sajian pembuka selera pada pesta-pesta suku kaum Kamoro. 

Dalam pesta-pesta yang diraikan suku kaum ini, cara untuk mencari cacing tambelo ini turut dipaparkan kepada pengunjung dengan membawa dua batang pokok kayu bakau yang penuh dengan cacing tersebut.

Kayu bakau itu dibelah menggunakan kapak dan ketika kayu itu dibuka, kaum lelaki Kamoro yang lainnya akan menari dan bernyanyi sambil memukul gendang. 

CACING ini menjadi menu wajib pada setiap pesta suku kaum Kamoro.


Apabila kayu itu terbelah, kelihatan batang bakau itu sudah berlubang-lubang akibat dikorek tamelo untuk dijadikan sarang. Hanya dengan mencungkil, cacing tambelo itu sudah sedia dijamah selepas dibersihkan.

Tidak perlu kicap atau cili padi tetapi cukup sekadar memegang tambelo tinggi-tinggi di atas mulut sebelum memasukkannya ke dalam mulut.

Sebelum menjamahnya secara mentah, cacing tambelo ini sudah direndam di dalam air limau nipis bagi mengurangkan bau dan rasanya enak ibarat memakan makanan laut. 
Selain dapat menyembuhkan penyakit, cacing tambelo ini juga dapat melancarkan pengaliran susu bagi kaum ibu yang sedang menyusukan bayi manakala bagi kaum lelaki, cacing ini sering digunakan sebagai ubat untuk meningkatkan stamina badan.

  Source

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat