Mangsa tikam sempat ucap 'saya sayang awak'



ONG AI SAM 

KUALA LUMPUR 21 April - Mangsa pembunuhan kejam, Ong Ai Sam, 52, yang mati ditikam ketika menyertai larian amal bersama keluarganya di Bukit Gasing, Petaling Jaya semalam, sempat mengucapkan 'saya sayang awak' kepada anak perempuannya sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Menurut status terbaru di laman sosial Facebook milik kenalan mangsa yang dikongsi oleh rakannya dikenali sebagai Zakk Vee dan Thom Wong Hanyang, Ai Sam ditikam empat kali oleh dua lelaki bermotosikal yang datang dari arah belakang.

"Mangsa menyuruh anaknya lari menyelamatkan diri sebelum ditikam empat kali di bahagian bahu dan paha. Ketika rebah, dia ditikam lagi," ujarnya kesal.

Ai Sam ketika kejadian dikatakan bersama suami dan anaknya menyertai larian amal itu sebelum tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal yang dipercayai cuba menyamun mangsa.

Difahamkan, anaknya berlari mendapatkan bantuan orang ramai semasa kejadian namun sebaik sahaja tiba mendapati ibunya itu sudah terbaring berlumuran darah. Mangsa kemudian meninggal dunia 20 minit selepas dikejarkan ke hospital akibat pendarahan teruk.

Kenalan mangsa itu yang kesal dengan kejadian tersebut seakan tidak percaya dengan berita kematian Ai Sam kerana wanita tersebut baru sahaja menyambut ulang tahun perkahwinannya sehari sebelum kejadian.

"Mangsa seorang yang baik hati dan selalu terlibat dengan aktiviti amal. Kejadian ini amat menyayat hati kami semua," katanya lagi.

Cr: UtusanMalaysia

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Renungan Pagi Jumaat