Puasa Enam Dan Kelebihannya

 

Kelebihan Puasa Enam

Puasa enam ialah puasa sunat yang dikerjakan sebanyak enam hari di bulan Syawal. Ianya sunat dan lebih afdhal dikerjakan secara berturut-turut di awal bulan Syawal iaitu bermula dari 2 haribulan Syawal, dan boleh juga dikerjakan secara berselang-seli ataupun dikerjakan bukan pada awal bulan Syawal.

Puasa sunat enam ini sangat besar fadhilat serta ganjarannya, diriwayatkan daripada Abu Ayyub Al-Anshari Radhiallahu ‘anhu, beliau telah berkata bahwasanya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan, kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, adalah (puasanya itu) seperti puasa sepanjang tahun.

(Hadits Riwayat Imam Muslim)

Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari di bulan Syawal di samping mengerjakan puasa fardhu di bulan Ramadhan diibaratkan seperti berpuasa sepanjang tahun berdasarkan perkiraan bahawa setiap kebajikan itu dibalas dengan sepuluh kali ganda. Oleh itu disamakan berpuasa di bulan Ramadhan selama 29 atau 30 hari dengan 300 hari atau sepuluh bulan berpuasa dan puasa enam di bulan Syawal itu disamakan dengan 60 hari atau dua bulan berpuasa. Maka dengan itu genaplah ia setahun. Ini diperkuatkan lagi dengan sebuah hadits riwayat Tsauban bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:
“Berpuasa sebulan (di bulan Ramadhan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.”
(Hadits Riwayat Imam Al-Darimi)

Apa yang dimaksudkan dengan penyamaan di sini adalah dari segi perolehan pahala iaitu seseorang itu akan mendapat pahala seperti pahala yang didapatinya dari puasa fardhu. Jadi, pahala mengerjakan puasa bulan Ramadhan dan puasa enam adalah sama dengan pahala mengerjakan puasa fardhu sebanyak setahun.

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Renungan Pagi Jumaat