Fenomena manusia dan emosi
|
KETERUJAAN manusia terhadap fenomena Gangnam Style kelihatan sudah
mula merosot. Masyarakat sudah mula kurang memperkatakannya lagi. Ia
tidak lagi dianggap fenomena yang hebat seperti mana awal kemunculannya. Sebenarnya, dalam apa juga fenomena keterujaan manusia terhadap
sesuatu, baik kepada perkara yang melibatkan manusia ataupun objek, ia
pada akhirnya hanyalah fenomena psikologi.
Di Malaysia, suatu waktu dahulu, fenomena Mawi telah mencetuskan
perbualan hangat. Bagaimanapun, ia sepertinya sudah berakhir. Ia diganti
pula dengan keterujaan terhadap artis yang lain. Kini, nama-nama seperti Yuna dan Najwa Latif pula mengisi ruang seni tanah air. Mereka menjadi bintang anak muda.
Di Malaysia, bukan hanya penyanyi menjadi fenomena. Pelawak seperti
Zizan dan Johan juga mempunyai auranya yang tersendiri. Mereka dipuja
dan diberikan perhatian. Bahkan, mutakhir ini kehadiran golongan pendakwah seperti Ustaz Azhar
Idrus yang mampu menarik puluhan ribu masyarakat mendengar ceramah
agama yang diberikan, merupakan sesuatu yang sangat luar biasa.
Di Indonesia, beberapa tahun yang lalu, pendakwah seperti Abdullah Gymnastiar dianggap sebagai ulama yang sangat phenomenal. Tidak ramai manusia mampu mencipta kehebatan seperti itu. Apatah lagi
kehebatan yang mampu memberikan manfaat yang besar kepada orang lain. Pada masa lalu, biasanya manusia yang menjadi fenomena ialah
negarawan. Soekarno, Mahatma Ghandi dan Ayatollah Khomeini dikatakan
antara manusia agung yang mampu menarik puluhan ribu pendengar. Bahkan
orang sanggup mati mempertahankan pemimpin mereka.
Kesan contagion
Apakah yang sebenarnya berlaku? Mengapa secara psikologikalnya kita
sangat terangsang dengan seseorang pada masa-masa tertentu dan pada masa
yang lain kita kian melupakan mereka?
Inilah yang dikatakan kesan contagion. Ia merupakan perpindahan emosi manusia. Gangnam menjadi gaya baharu masyarakat apabila semua orang
memperkatakannya. Ia tersebar dengan lebih cepat dengan adanya kemudahan
internet yang menjadikan manusia di seluruh dunia ingin melihat
siapakah artis yang menciptakan muzik baharu itu. Ia sekali gus menjadi
sebutan di mana-mana.
Pada mulanya, orang mungkin tidak meminati langsung. Apabila semua
orang memperkatakan tentang kehebatan artis tadi, secara tidak langsung
ia telah menyebabkan semua orang berkongsi emosi menyukainya. Asalnya, teori berkaitan dengan kesan contagion ini banyak
dibincangkan oleh pakar psikologi apabila membincangkan topik yang
berkaitan dengan histeria.
Ia menjelaskan, apabila ada seseorang yang berasa trauma dengan
sesuatu, ia kemudiannya telah merebak kepada orang lain yang seolah-olah
mengalami hal yang sama. Perpindahan emosi berlaku dalam konteks kehidupan kita seharian. Kita
bersedih apabila melihat orang lain bersedih, walaupun kita tidak ada
alasan untuk bersedih.
Kita berasa gembira apabila melihat orang lain gembira. Anak-anak
kita di rumah akan berasa gembira apabila ibu bapanya pulang ke rumah
dengan wajah yang ceria. Begitu jugalah yang berlaku di tempat kerja. Kita selalu melihat bagaimana ribuan penonton menangis apabila melihat penyanyi hebat seperti Elton John atau Michael Jackson. Tatkala semua penonton menangis, secara tidak sengaja penonton lain
akan menangis juga. Pemindahan emosi yang berlaku antara manusia ini
sangat sukar untuk dijelaskan.
Emosi yang menular
Dalam konteks penghibur dan pendakwah tadi, mereka telah diperkatakan
di mana-mana. Nama mereka disebut-sebut sehingga menjadikan mereka
sangat istimewa. Cerita mengenai kehebatan mereka tadi telah menular dengan cepat dan meluas, menjadikan mereka sebagai satu fenomena.
Perpindahan emosi manusia ini adalah sesuatu yang sangat unik. Semua orang menyukai mereka. Sebenarnya tidak semua manusia mampu mencapai ke tahap ini. Ada orang
yang perlu berusaha bersungguh-sungguh, tetapi mereka tidak menonjol
juga. Ada orang yang mungkin melakukan usaha yang kecil sahaja, tetapi
tiba-tiba menjadi sangat terkenal. Ia hal psikologikal yang unik.
Banyak artis baharu muncul bukan kerana mereka perlu bertanding dalam
kejuaraan lagu atau berdamping dengan komposer terkenal, tetapi mereka
mencipta nama kerana mereka meletakkan bakat mereka di internet. Kalau mereka bernasib baik, mereka akan disukai orang. Mereka akan
menjadi manusia yang lebih beruntung, kalau nama mereka tiba-tiba
menjadi sebutan dan digilai.
Bukanlah bermakna idola seperti ini tidak ada kekurangannya. Mereka manusia biasa juga. Mereka juga ada kelemahan. Bagaimanapun, sekiranya ada kekurangan dan kelemahan, peminat atau
pendengar akan mengabaikannya. Mereka tidak lagi mementingkan kekurangan
idola mereka tadi. Nama baik dan kehebatan manusia ini juga yang akan
terus disebut.
Sampai waktunya, sama ada kita suka atau tidak, populariti seseorang
akan merosot. Ia adalah lumrah. Pada saat itu, walaupun sedikit sahaja
kesilapan atau kekurangan yang muncul, manusia akan menciptakan seribu
alasan untuk tidak menyukainya. Sesiapa yang mempunyai bakat atau kelebihan tertentu mungkin boleh cuba melakukan sesuatu untuk menonjolkan diri anda. Kalau anda bernasib baik, anda mungkin menjadi satu fenomena baharu yang memberikan manfaat kepada orang lain.
Fakta & info menarik ni
ReplyDeletebetul..memang lumrah..ada masa naik ada masa turun..
ReplyDelete