Fenomena manusia dan emosi


APABILA sudah fanatik terhadap seseorang penyanyi, ada yang sanggup berhabis ratusan ringgit untuk membeli tiket konsert. - Gambar hiasan


KETERUJAAN manusia terhadap fenomena Gangnam Style kelihatan sudah mula merosot. Masyarakat sudah mula kurang memperkatakannya lagi. Ia tidak lagi dianggap fenomena yang hebat seperti mana awal kemunculannya. Sebenarnya, dalam apa juga fenomena keterujaan manusia terhadap sesuatu, baik kepada perkara yang melibatkan manusia ataupun objek, ia pada akhirnya hanyalah fenomena psikologi.

Di Malaysia, suatu waktu dahulu, fenomena Mawi telah mencetuskan perbualan hangat. Bagaimanapun, ia sepertinya sudah berakhir. Ia diganti pula dengan keterujaan terhadap artis yang lain. Kini, nama-nama seperti Yuna dan Najwa Latif pula mengisi ruang seni tanah air. Mereka menjadi bintang anak muda.

Di Malaysia, bukan hanya penyanyi menjadi fenomena. Pelawak seperti Zizan dan Johan juga mempunyai auranya yang tersendiri. Mereka dipuja dan diberikan perhatian. Bahkan, mutakhir ini kehadiran golongan pendakwah seperti Ustaz Azhar Idrus yang mampu menarik puluhan ribu masyarakat mendengar ceramah agama yang diberikan, merupakan sesuatu yang sangat luar biasa. 

Di Indonesia, beberapa tahun yang lalu, pendakwah seperti Abdullah Gymnastiar dianggap sebagai ulama yang sangat phenomenal. Tidak ramai manusia mampu mencipta kehebatan seperti itu. Apatah lagi kehebatan yang mampu memberikan manfaat yang besar kepada orang lain. Pada masa lalu, biasanya manusia yang menjadi fenomena ialah negarawan. Soekarno, Mahatma Ghandi dan Ayatollah Khomeini dikatakan antara manusia agung yang mampu menarik puluhan ribu pendengar. Bahkan orang sanggup mati mempertahankan pemimpin mereka.

Kesan contagion

Apakah yang sebenarnya berlaku? Mengapa secara psikologikalnya kita sangat terangsang dengan seseorang pada masa-masa tertentu dan pada masa yang lain kita kian melupakan mereka?

Inilah yang dikatakan kesan contagion. Ia merupakan perpindahan emosi manusia. Gangnam menjadi gaya baharu masyarakat apabila semua orang memperkatakannya. Ia tersebar dengan lebih cepat dengan adanya kemudahan internet yang menjadikan manusia di seluruh dunia ingin melihat siapakah artis yang menciptakan muzik baharu itu. Ia sekali gus menjadi sebutan di mana-mana.

Pada mulanya, orang mungkin tidak meminati langsung. Apabila semua orang memperkatakan tentang kehebatan artis tadi, secara tidak langsung ia telah menyebabkan semua orang berkongsi emosi menyukainya. Asalnya, teori berkaitan dengan kesan contagion ini banyak dibincangkan oleh pakar psikologi apabila membincangkan topik yang berkaitan dengan histeria.

Ia menjelaskan, apabila ada seseorang yang berasa trauma dengan sesuatu, ia kemudiannya telah merebak kepada orang lain yang seolah-olah mengalami hal yang sama. Perpindahan emosi berlaku dalam konteks kehidupan kita seharian. Kita bersedih apabila melihat orang lain bersedih, walaupun kita tidak ada alasan untuk bersedih.

Kita berasa gembira apabila melihat orang lain gembira. Anak-anak kita di rumah akan berasa gembira apabila ibu bapanya pulang ke rumah dengan wajah yang ceria. Begitu jugalah yang berlaku di tempat kerja. Kita selalu melihat bagaimana ribuan penonton menangis apabila melihat penyanyi hebat seperti Elton John atau Michael Jackson.  Tatkala semua penonton menangis, secara tidak sengaja penonton lain akan menangis juga. Pemindahan emosi yang berlaku antara manusia ini sangat sukar untuk dijelaskan.
Emosi yang menular

Dalam konteks penghibur dan pendakwah tadi, mereka telah diperkatakan di mana-mana. Nama mereka disebut-sebut sehingga menjadikan mereka sangat istimewa. Cerita mengenai kehebatan mereka tadi telah menular dengan cepat dan meluas, menjadikan mereka sebagai satu fenomena.

Perpindahan emosi manusia ini adalah sesuatu yang sangat unik. Semua orang menyukai mereka. Sebenarnya tidak semua manusia mampu mencapai ke tahap ini. Ada orang yang perlu berusaha bersungguh-sungguh, tetapi mereka tidak menonjol juga.  Ada orang yang mungkin melakukan usaha yang kecil sahaja, tetapi tiba-tiba menjadi sangat terkenal. Ia hal psikologikal yang unik.

Banyak artis baharu muncul bukan kerana mereka perlu bertanding dalam kejuaraan lagu atau berdamping dengan komposer terkenal, tetapi mereka mencipta nama kerana mereka meletakkan bakat mereka di internet. Kalau mereka bernasib baik, mereka akan disukai orang. Mereka akan menjadi manusia yang lebih beruntung, kalau nama mereka tiba-tiba menjadi sebutan dan digilai.
 
Bukanlah bermakna idola seperti ini tidak ada kekurangannya. Mereka manusia biasa juga. Mereka juga ada kelemahan. Bagaimanapun, sekiranya ada kekurangan dan kelemahan, peminat atau pendengar akan mengabaikannya. Mereka tidak lagi mementingkan kekurangan idola mereka tadi. Nama baik dan kehebatan manusia ini juga yang akan terus disebut.

Sampai waktunya, sama ada kita suka atau tidak, populariti seseorang akan merosot. Ia adalah lumrah. Pada saat itu, walaupun sedikit sahaja kesilapan atau kekurangan yang muncul, manusia akan menciptakan seribu alasan untuk tidak menyukainya. Sesiapa yang mempunyai bakat atau kelebihan tertentu mungkin boleh cuba melakukan sesuatu untuk menonjolkan diri anda. Kalau anda bernasib baik, anda mungkin menjadi satu fenomena baharu yang memberikan manfaat kepada orang lain.


Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat