KPI Ramadhan



TANGGAPAN popular masyarakat ialah awal Ramadan masjid serta surau penuh, manakala masuk pertengahan jumlah jemaah yang datang berkurangan dan apabila tiba minggu terakhir, hanya satu saf saja yang tinggal. 


Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu, Teras Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Zamihan Mat Zin, berkata sudah tiba masa umat Islam melakukan transformasi supaya situasi itu bertukar sebaliknya.

Beliau berkata, transformasi perlu bagi memastikan golongan yang beriman berjaya mencapai indeks prestasi utama (KPI) Ramadan iaitu perasaan takut kepada Allah dengan meningkatkan keimanan kepada-Nya. 


“KPI Ramadan ialah takwa. Oleh itu, selepas menjalani dua pertiga daripada ibadah puasa, apakah kita berjaya melaksanakan ibadah dengan sempurna. Cara ingin tahu ialah apabila kita seronok menjalani ibadat puasa dan amalan lain. 


“Jika kita tidak rasa keseronokannya, maka pusingan pertama dan kedua yang sudah berlalu tidak berjaya mencapai KPI Ramadan. Adakah puasa kita takutkan Allah, ini perlu kita fikir,” katanya pada majlis ceramah Ihya Ramadan di Surau The New Straits Times Press (NSTP), baru-baru ini. 

Katanya, keindahan Ramadan boleh diperoleh dalam banyak cara, hatta tujuan bersahur dan berbuka puasa juga boleh menjadi kayu pengukur kepada kesungguhan seseorang itu menempuh madrasah yang menguji kesabaran serta keimanan. 

Matlamatnya ada satu iaitu meningkatkan rasa takut (takwa) kepada Allah demi mencari bekalan untuk dibawa di akhirat nanti kerana kehidupan yang sebenar bagi orang yang beriman ialah kehidupan akhirat. 
Justeru, sahur, berbuka, solat sunat tarawih serta amalan baik yang lain bukan perbuatan membuang masa tetapi sebagai bukti ketakwaan kepada Allah.

Contoh diberi, rasa takwa menyebabkan mereka yang menikmati makan sahur dan juadah berbuka terasa dalam hatinya takut kepada Allah dan mensyukuri bahawa setiap rezeki adalah kurniaan Allah. 

Begitu juga amalan wajib serta sunat yang dilakukan berlipat kali ganda sepanjang Ramadan mempunyai matlamat jelas untuk mencari keredaan Allah serta mencapai ketakwaan. 

Zamihan berkata, perasaan takwa tidak akan jatuh ke dataran hati yang kotor dan berdosa kepada Allah iaitu hakikat perlu disedari kenapa penegasan ibadat puasa dibuat untuk golongan beriman seperti firman Allah yang dikaitkan dengan perintah puasa. 

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan ke atas orang yang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu beroleh takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183) 

Katanya, perasaan itu juga gagal dirasai oleh mereka yang tidak bernar-benar bertaubat kepada Allah kerana Ramadan yang menjadi bulan membersihkan diri daripada dosa sementara dosa pula akan mengganggu ibadat. 

“Sepatutnya pada bulan Syaaban kita sudah meminta maaf pada semua orang sebagai persediaan menghadapi Ramadan yang mulia. Memohon ampun atas dosa kepada Allah pula melalui taubat nasuha iaitu menyesal, berazam tidak mengulangi dan meninggalkan terus perbuatan dosa itu. 

“Jika buat ibadat tidak rasa keseronokan, tidak rasa menuju akhirat disebabkan kita masih bergelumang dosa yang menjadi dinding pemisah mendapat takwa. Jangan jadikan dosa dan noda halangan untuk menikmati takwa,” katanya. 

Beliau berkata, objektif Ramadan juga ialah untuk membebaskan diri daripada api neraka dengan berdoa kepada Allah terutama pada malam lailatul qadar yang menjadi rahsia Allah tetapi dianjurkan umat Islam mencarinya sepanjang 10 terakhir Ramadan. 

Bagaimanapun katanya, seperti janji Allah, doa hamba-Nya hanya akan diperkenankan dengan syarat mereka mengikut perintah Allah terlebih dulu.

Maka jika Ramadan berjaya menghasilkan takwa dan syukur, ia menjadi nilai tambah kepada kehidupan dunia serta akhirat.

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat