Skip to main content

Liow: Kawalan ketat di pintu masuk negara elak penyebaran Enterovirus





11 Julai 2012
JASIN - Kementerian Kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengetatkan kawalan di semua pintu masuk negara bagi memastikan penyebaran Enterovirus 71 (EV-71) di Kemboja, tidak merebak ke negara ini.
   
Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kementerian telah mengambil langkah awal dengan menghantar satu pasukan perubatan ke negara tersebut bagi memantau perkembangan virus berkenaan.
   
"Menerusi laporan yang saya terima, memang sah virus tersebut (EV-71) telah melanda negara berkenaan namun punca kematian sesetangah rakyatnya juga disebabkan denggi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Hospital Jasin di sini, hari ini.
   
EV-71 adalah sejenis virus yang boleh mengakibatkan lumpuh, radang otak dan kematian.
   
Kebanyakan kes di Kemboja membabitkan kanak-kanak di bawah usia tiga tahun yang mengalami demam, masalah pernafasan yang cepat merebak dan kadang-kala simptom neurologikal.

Beliau berkata virus tersebut sememangnya wujud di negara ini dan kerap berlaku di Sarawak pada setiap tahun.
     
Namun, katanya kementerian telah mengambil tindakan menutup taska dan pusat jagaan kanak-kanak serta membuat pemantauan dan rawatan kepada kanak-kanak yang dijangkiti virus tersebut.
   
Justeru, beliau berkata rakyat tidak perlu bimbang terhadap virus itu kerana kementerian sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dalam membendung penyebaran virus tersebut di negara ini.
   
Dalam perkembangan lain, Liow berkata pengamal Perubatan Tradisional dan Komplementari (TCM) tidak perlu khuatir sekiranya Akta TCM yang selesai bacaan kali pertama di Dewan Rakyat baru-baru ini, diluluskan.
   
Sebaliknya, beliau berkata akta tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 10,000 pengamal TCM di negara ini, sama ada mereka mempunyai sijil perkhidmatan perubatan tersebut atau sebaliknya.
   
Beliau berkata semua pengamal TCM sedia ada akan diberi peluang meneruskan perkhidmatan masing-masing mengikut gred berdasarkan kualiti perkhidmatan mereka.
   
"Akta itu juga akan membantu kerajaan menyediakan peruntukan yang bersesuaian bagi membangunkan industri TCM di negara ini," katanya.
   
Liow berkata kementerian juga bercadang mewujudkan sebuah pusat TCM di Hospital Jasin pada akhir tahun ini dan penubuhan pusat berkenaan adalah yang ke-11 di hospital kerajaan seluruh negara. - Bernama

Comments

Popular posts from this blog

1st Segmen : Kasi Terjah by Add

Kenapa Rukuk dan Sujud Dalam Solat