Amalan Puasa Rasulullah SAW
AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.
Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang
terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam
sebuah hadis baginda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu
sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila
dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah, sesungguhnya aku ini
sedang berpuasa.
Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang
berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum
daripada bau kasturi.
Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah
diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh
semua umatnya.
Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah;
Memantapkan Niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
"Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak
sah puasanya." (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Melaksanakan Makan Sahur - Anas bin Malik r.a.
berkata telah bersabda Rasululla SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu
sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat
Muslim). Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat
itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur akan menguatkan
lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk
melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
Imsak Rasulullah - Rasulullah SAW bersabda: "Apabila
salah seorang daripada kamu mendengar azan Subuh padahal bekas minuman
masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia
menyelesaikan meminumnya. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Keadaan
yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang
terlewat ketika bangun untuk makan sahur.
Mempercepat Berbuka - Sahl bin Saad berkata
sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah Taala
"hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka
puasa bila tiba masanya" (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).
Memperbanyak Membaca Al-Quran - Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan
membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan
batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim). Barang siapa yang
membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun
membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan
rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan
mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.
Memperbanyakkan Sedekah - Sedekah yang paling utama
adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang
tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita
terutama kepada golongan fakir miskin.
Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala
tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi
kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga
membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.
Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi
ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah
terlalu banyak. Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada
setiap malan bulan Ramadan ada suara yang memanggil,
"Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu
lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian
yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita
semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam
golongan manusia yang bebas dari api neraka."
Comments
Post a Comment