TEL AVIV 22 Ogos - Satu sumber keselamatan Israel mendedahkan bahawa
rejim Zionis itu merancang untuk menyerang loji nuklear Iran sebelum
November ini.
Pegawai-pegawai Britain berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin
Netanyahu telah memulakan proses melobi untuk mendapatkan sokongan ke
atas tindakan ketenteraan itu.
Seorang koresponden tentera terkenal bagi Channel 10 News, Israel,
mendakwa rejim Zionis itu semakin hampir untuk menyerang Iran.
Menurutnya, Netanyahu memutuskan untuk menyerang Iran sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 6 November ini.
Pemimpin Israel percaya Presiden Barack Obama yang menerima tentangan
hebat daripada calon Parti Republikan, Mitt Romney, akan terpaksa
menyokong Israel walaupun ketua tentera AS menentang cadangan itu.
Menurut sumber itu, Obama takut pengundi Yahudi di negeri-negeri
utama seperti Florida tidak mengundi menyokongnya pada pilihan raya
Presiden AS itu jika Obama tidak menyokong cadangan Israel itu.
Sementara itu, ketegangan meningkat, semalam apabila pemimpin Iran
memperkenalkan senjata baru mereka iaitu peluru berpandu jarak dekat
Fateh-110 yang direka untuk memusnahkan sasaran dalam jarak 290
kilometer, termasuk kapal-kapal perang AS yang berada di Teluk Parsi.
Semalam, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad turut menegaskan bahawa
republik Islam itu tidak meragui keupayaan Teheran berdepan tindakan
buli dan serangan dari negara asing. - AGENSI
No comments:
Post a Comment