Pemindahan rahim ibu kepada anak pertama di dunia
STOCKHOLM - Sepasukan doktor di Sweden berjaya melakukan pembedahan
pemindahan rahim daripada ibu kepada anak perempuan yang pertama di
dunia, kata satu pasukan perubatan kelmarin.
Universiti Gothenburg menyatakan, dua wanita tempatan berusia dalam
lingkungan 30-an menerima rahim daripada ibu mereka dalam pembedahan di
Hospital Sahlgrenska, barat Sweden pada hujung minggu lalu.
Identiti mereka tidak didedahkan.
"Lebih sepuluh orang doktor bedah yang berlatih bersama untuk
prosedur tersebut selama beberapa tahun mengambil bahagian dalam
pembedahan sukar ini," kata ketua pasukan pakar bedah berkenaan, Mats
Brannstrom.
Beliau merupakan seorang profesor Obstetrik dan Ginekologi di Universiti Gothenburg.
Menurutnya, rahim seorang wanita itu telah dibuang bertahun-tahun
lalu akibat kanser servik. Sementara wanita kedua pula dilahirkan tanpa
rahim.
" Kedua-dua pesakit yang menerima rahim baharu berada dalam keadaan
baik tetapi penat selepas menjalani pembedahan. Ibu mereka sudah boleh
berjalan dan akan dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari lagi,"
jelas Brannstrom.
Pihak universiti berkenaan memberitahu, dianggarkan antara 2,000
hingga 3,000 wanita di Sweden tidak dapat mengandung kerana ketiadaan
rahim.
Pasukan perubatan tersebut memberitahu, kualiti rahim dikawal oleh
ovari dan hormon di dalam badan manusia. Berdasarkan teori tersebut,
mereka menjelaskan, rahim wanita yang sudah mengalami menopaus boleh
menampung kehamilan.
Seorang penerima rahim tersebut yang dikenali sebagai Anna berkata,
dia memilih untuk menjalani pembedahan tersebut bagi memulihkan semula
fungsi badannya seperti wanita lain.
"Satu perasaan hebat kerana dapat merasai pengalaman ini (mempunyai
rahim)," katanya dalam komen yang disiarkan di laman web Hospital
Sahlgrenska.
Menurutnya, tiada jaminan dia dan teman lelakinya akan dapat menimang cahaya mata selepas prosedur tersebut.
"Namun, kami ada peluang yang baik. Jika saya hamil, ia adalah bonus buat kami," katanya.
- Reuters
Comments
Post a Comment