10 September 2012
Kaum Rohingya
GENAP 20 tahun lalu, seluruh dunia tergamam melihat kekejaman luar biasa di Bosnia Herzegovina. Pergaduhan kaum di negara yang sebelum itu begitu aman menyaksikan
lebih 100,000 orang Islam Bosnia dan penganut Katolik Croatia dibunuh
oleh bangsa Serbia dari 1992 hingga 1995.
Pembersihan etnik dilakukan tentera Serbia, termasuk penahanan secara
haram, pembunuhan, rogol, serangan seksual, penyeksaan, rompakan dan
layanan tidak berperikemanusiaan.
Hari ini, masa seolah kembali berputar apabila dunia sekali lagi
mendengar kekejaman serupa sedang berlaku, kali ini lebih hampir dengan
negara kita.
Kaum minoriti Islam Rohingya di Myanmar menjadi mangsa kebencian
mendalam di negara yang mempunyai kira-kira 135 etnik berbeza itu.
Sebenarnya masalah Rohingya ini bukan luar biasa. Insiden terbaru ini sebahagian daripada kitar keganasan dihadapi mereka sejak puluhan tahun lalu. Kali ini, gelombang keganasan bermula Jun lalu, selepas seorang wanita
Buddha dikatakan dirogol dan dibunuh oleh tiga lelaki Muslim di Rakhine.
Sejak itu, kaum Rohingya dihalau, dibunuh, ditangkap dan dipaksa
menjadi buruh serta dilabelkan sebagai ‘golongan yang tidak diingini’
oleh kepimpinan tertinggi negara itu.
Asas keganasan dalam kes Rohingya dan Bosnia Herzegovina adalah serupa,
iaitu perbezaan bangsa dan agama dalam masyarakat yang menetap di
sebuah negara yang sama.
Jauh daripada demokrasi Ketegangan antara kaum Rohingya, iaitu kumpulan
penduduk berkulit gelap dan beragama Islam, dengan kaum Rakhine,
penganut Buddha di Myanmar, telah wujud sejak ratusan tahun lalu. Ini
kerana kaum Rohingya berasal dari keturunan Bangladesh dan Arab, dan
kelihatan jauh berbeza dari segi rupa paras serta budaya.
Namun, di sebalik sejarah panjang penempatan Rohingya di Myanmar,
kerajaan tentera tetap dengan pendirian mereka bahawa kaum Rohingya
memasuki negara itu secara haram dan alasan itu digunakan untuk
melakukan pembersihan etnik terhadap 800,000 orang Rohingya.
Rohingya juga dituduh mahu merampas tanah serta peluang perniagaan
orang Myanmar serta cuba merampas kuasa melalui pertambahan populasi.
Apabila ikon demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi dibebaskan kerajaan
daripada tahanan rumah dua tahun lalu, ramai yang berkata ianya adalah
titik perubahan Myanmar untuk menjadi lebih demokrasi. Ia menunjukkan kerajaan dikuasai tentera yang selama ini tertutup
pemikiran mereka, mula bersedia untuk memasuki arus kemodenan yang
datang bersama hak asasi dan sikap bertamadun tinggi.
Nampaknya, ramai yang salah. Kerajaan bantu kekejaman Kini, sudah masuk
tiga bulan, tetapi keganasan di sempadan Myanmar- Bangladesh masih
berterusan. Badan hak asasi manusia Human Rights Watch melaporkan
baru-baru ini, kerajaan Myanmar gagal mengambil langkah perlu bagi
menghalang pertempuran antara dua kaum tersebut.
Presiden Myanmar, Thein Sein dalam pertemuan dengan Suruhanjaya Tinggi
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian juga mengejutkan banyak
pihak apabila berkata beliau sedia menghantar Rohingya ke negara lain
kerana ‘kami tidak boleh menerima kaum ini’.
Walaupun kenyataan itu dianggap tidak patut dikeluarkan oleh seorang
pemimpin, pendiriannya disokong kuat majoriti rakyat Myanmar, terutama
golongan sami Buddha.
Belajar daripada sejarah Sudah jelas, pembunuhan orang Islam di Myanmar
secara besar-besaran yang bukan pertama kali berlaku ini disokong malah
dirancang oleh kerajaan negara itu.
Hanya usaha masyarakat antarabangsa dapat mengubah corak keganasan ini dan menghalang Rohingya menjadi Bosnia kedua.
Sementara itu, negara lain yang mempunyai masyarakat majmuk, seperti
Malaysia, perlu belajar daripada sejarah dunia bagi memastikan perbezaan
agama dan budaya tidak menjadi api yang membakar hangus masa depan
negara.
No comments:
Post a Comment